Tumpuan :
Sukan

FAM hanya terima 4 aduan terhadap pengadil

Pengadil yang bertugas di Liga M sudah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang saingan domestik musim 2024/25. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Di sebalik kritikan demi kritikan yang dilemparkan penyokong bola sepak tempatan mengenai mutu pengadilan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan badan induk itu hanya menerima empat aduan bertulis daripada 161 perlawanan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, barisan pengadil yang bertugas di Liga M sudah menunjukkan prestasi yang cemerlang di sepanjang saingan domestik bagi musim 2024/25.

“Keberadaan pengadil dengan tahap pemahaman Undang-undang Permainan yang baik serta tahap kecergasan yang tinggi dengan dibantu oleh ‘Video Bantuan Pengadil’ (VAR) sudah membuktikan kecemerlangannya.

“Setakat ini, FAM hanya menerima empat aduan bertulis daripada 161 perlawanan. Pengadil-pengadil FIFA dari negara ini sudah diiktiraf oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Seperti yang kita sedia maklum, Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Zairul Khalil Tan dan Mua’zi Zainai Abidin pernah bertugas di Piala Asia dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Nazmi juga adalah salah seorang calon pengadil Piala Dunia 2026.

“FAM juga memiliki sekumpulan pengadil muda dan berpotensi yang dididik menerusi Projek Akademi Pengadil Profesional,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini