comscore
Tumpuan :
Sukan

FAM sumbang kutipan jualan tiket kepada KBS dan NRECC bantu konservasi Harimau Malaya

FOTO: Facebook/FAM

KUALA LUMPUR: Setiap seringgit daripada hasil jualan tiket pasukan kebangsaan akan disumbangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi menyokong usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang menerajui gerakan konservasi biodiversiti serta memerangi kepupusan harimau Malaya.

Ini sebagai simbol kebersamaan diantara skuad negara dan haiwan tersebut memandangkan menggunakan gelaran Harimau Malaya yang melambangkan ciri-ciri ketangkasan, keberanian, dan kehebatan apabila beraksi di padang.

“Saya optimis kolaborasi bersama KBS ini menjadi satu bukti konklusif dimana kedua-dua organisasi ini menitik beratkan hidupan liar khususnya harimau Malaya yang merupakan haiwan ikonik Malaysia yang kini berdepan isu kepupusan,” ujar Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau lagi, inisiatif tersebut membolehkan pengikut bola sepak di negara ini turut tampil bersama-sama menjayakan gerakan membantu haiwan itu setiap kali menyaksikan perlawanan yang dimainkan pasukan kebangsaan.

“Harimau Malaya ialah lambang dan nama panggilan keramat buat pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia. Kita tidak mahu di satu hari nanti harimau tinggal maskot ataupun slogan dan laungan sahaja tanpa adanya harimau liar di hutan kita. Jika spesies ini pupus, jiwa kelestarian negara ini juga akan pudar dan tidak akan ada makna jika pada masa itu pasukan kebangsaan kita masih bergelar Harimau Malaya,” menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Untuk itu KBS juga akan menggunakan program Rakan Muda sebagai platform membantu usaha terhadap harimau Malaya dan konservasi biodiversiti ini.

Ia dilihat sebagai pendekatan inovatif dan terangkum melibatkan sukan popular seperti bola sepak membantu menyelamatkan harimau Malaya.

Di Malaysia populasi harimau liar telah menurun daripada lebih kurang 1,000 ekor pada tahun 1970an kepada kurang daripada 150 ekor pada masa kini kerana pelbagai ancaman seperti pemburuan haram.

Pasukan senior dijadual menghadapi Turkmenistan dan Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa kelas satu pada malam ini dan Selasa, 28 Mac di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor jam 10 malam.

Loading...
Terkini