comscore
Tumpuan :
Sukan

FAM Teliti ‘Sindiran’ Sanusi

KUALA LUMPUR : Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneliti laporan penilai pengadil mengenai keputusan pengadil ketika aksi antara Kedah Darul Aman (KDA) dan Johor Darul Ta’zim, semalam.

Ia susulan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan itu, Hamdan Awang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan pihaknya perlu meneliti laporan penilai pengadil terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

“Saya tidak boleh komen lanjut kerana kami perlu lihat dulu laporan penilai pengadil, selepas itu baru kami maklumkan,” kata Timbalan Presiden FAM itu kepada BH Sukan, hari ini.

Sanusi dalam hantaran di Facebook miliknya seakan menyindir FAM dan pengadil selepas KDA tewas 1-3 di tangan JDT pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.

Sambil mengucapkan tahniah kepada JDT, Sanusi bagaimanapun seperti mempersoalkan keputusan perlawanan dengan mendakwa gol dijaringkan lawan itu ofsaid selain lawan pula diberikan penalti.

“Tahniah JDT yang menang menentang KDAFC malam ini. Tahniah juga pemain dan penyokong KDAFC yang telah memberi komitmen terbaik.

Kalah takpa jangan koyak.

“Lepas off-side dan dapat penalti dalam bolasepak memang ada juai di kedai tepi jalan di Kelana Jaya,” tulis Sanusi sambil disertakan dengan emoji ketawa.

Tidak dapat dipastikan sama ada ia hanya gurauan atau sebaliknya daripada Sanusi, namun kenyataannya itu seperti menyindir FAM yang berpangkalan di Kelana Jaya.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini