comscore
Tumpuan :
Sukan

FAM tiada hutang dengan JDT

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan badan induk itu mempunyai hutang dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sebaliknya, Hamidin menjelaskan kemungkinan bahawa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang masih ada hutang dengan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu.

Beliau berkata, hutang berkenaan berkaitan wang kemenangan Harimau Selatan yang mungkin masih mempunyai baki tunggakan untuk dijelaskan kepada mereka.

“Saya berasa, pandangan saya mungkin MFL…mungkin ada sedikit hadiah kemenangan yang belum dilunaskan. Tetapi saya berasa mungkin hampir dilunaskan, dengan FAM tak ada.

“Mungkin kelewatan membayar wang kemenangan, tetapi ia mungkin sudah dijelaskan, mungkin boleh semak dengan Datuk Ab Ghani Hassan (Presiden MFL),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, semalam.

Sebelum ini, Tunku Ismail berharap denda susulan tindakan penyokong membakar suar di Stadium Sultan Ibrahim selepas aksi JDT dapat ditolak daripada hutang lama FAM dengan pasukan itu.

Perkara itu dinyatakan Tunku Ismail selepas beliau mengakui JDT bakal dikenakan denda apabila tiga kali membakar suar dalam saingan Liga Super.

Sebelum ini, penyokong JDT dilaporkan membakar suar selepas perlawanan dan ia melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Loading...
Terkini