comscore
Tumpuan :
Sukan

FAM tiada masalah bayar gaji tinggi buat jurulatih Harimau Malaya

FOTO: Ihsan FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia membayar gaji bulanan sehingga RM200,000 bagi mendapatkan jurulatih terbaik buat skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, soal gaji langsung tidak memberikan masalah untuk badan induk itu kerana lebih penting adalah jurulatih terbabit dapat memenuhi sasaran khususnya dalam mengangkat bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.

“Bukan soal gaji kerana kita mahukan jurulatih yang boleh membawa kita ke satu tahap yang lain. Kalau kita ada (jurulatih) gaji RM100,000 tetapi tak boleh ke mana, baik kita bayar gaji RM200,000 tetapi boleh bawa kita (pergi) jauh.

“Kadangkala kita kena berbelanja juga untuk skuad kebangsaan, kita pun lihat beberapa (jurulatih) tunjukkan minat untuk membantu pasukan negara jadi kita perlu bersedia.

“Mahu atau tak mahu, kita kena juga berbelanja untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya.

Terdahulu, nama bekas pengendali Vietnam, Park Hang Seo berada dalam radar badan induk itu namun mereka perlu bersedia untuk membayar lebih dua kali ganda daripada gaji bekas pengendali, Kim Pan Gon.

Ini kerana gaji Hang Seo lebih tinggi daripada gaji Pan Gon di mana badan induk itu sebelum ini membayar Pan Gon gaji di bawah AS$20,000 (RM87,000) sebulan kepada pengendali yang kini sudah bersama kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai itu.

Memetik laporan portal Vietnam, VN Ekspress, Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) dilaporkan membayar gaji Hang Seo sebanyak RM218,000 sebulan dengan Hang Seo mengendalikan pasukan itu bagi tempoh lima tahun setengah.

Dalam perkembangan sama, Yusoff mengesahkan FAM belum lagi berhubung untuk mendapatkan Hang Seo dan kini membuka peluang kepada pengendali sedia ada, Pau Marti Vicente untuk membuktikan kredibilitinya sehingga hujung tahun ini.

“Kita belum bergerak ke arah itu dan kita tengok apa faktor yang sesuai untuk kita. Kita tak boleh cakap yang kita nak (Hang Seo) sedangkan Pau Marti ada dalam pasukan ketika ini.

“Jadi kita tunggu sehingga hujung tahun ini sebelum mempertimbangkan apa pilihan terbaik. Pau Marti mendapat peluangnya (kendalikan skuad kebangsaan) jadi gunakan peluang itu sebaiknya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini