comscore
Tumpuan :
Sukan

Faye senjata baharu NSFC

FOTO: Ihsan NSFC

SEREMBAN: Pemain kelahiran Senegal berusia 29 tahun, Jacque Faye bertekad untuk mengukir nama bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) musim ini sebaik sahaja mengikat kontrak selaku pemain import keempat pasukan itu.

“Saya ingin melangkah lebih jauh dan mencipta nama bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) musim ini,” kata Faye yang sebelum ini beraksi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC sejak 2019.

Menerusi satu rakaman video, pemain tengah itu mengakui tertarik dengan Negeri Sembilan kerana rekod dan reputasi pasukan itu yang pernah menjulang kejuaraan Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia.

Dia berharap dapat mempamerkan kehebatan bersama skuad Hobin Jang Hobin bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025, yang dijadual akan bermula 10 Mei depan.

“Saya bermain menentang pasukan ini pada musim lalu dan mendapati Negeri Sembilan adalah pasukan hebat dan banyak sejarah yang tercatat di sini membuatkan saya tertarik menyertai pasukan ini.

“Saya juga telah memenangi beberapa pertandingan di negara asal saya. Dapat menyertai Negeri Sembilan FC juga merupakan satu pencapaian sejak beraksi di negara ini.

”Rasa tidak sabar untuk beraksi bersama Negeri Sembilan. Saya juga yakin berdasarkan barisan pemain, pasukan ini boleh memberikan saingan yang hebat dalam liga nanti,” katanya.

Faye mencatatkan 710 minit permainan dalam saingan Liga Super musim lalu dan turut membantu pasukan Sang Saka Biru memenangi Piala Cabaran.

Setakat ini, Negeri Sembilan sudah mengikat empat daripada lima pemain import disasarkan selepas penyertaan Hein Ttet Aung dari Myanmar yang dipinjamkan daripada pasukan Selangor FC bagi musim kedua.

Selain itu, dua pemain import lagi masing-masing dari Jepun, Takumi Sasaki, 25, dan Aliyu Abubakar, 27, dari Nigeria.

Bagi pemain tempatan, kelab berkenaan juga sudah hampir melengkapkan barisan yang diperlukan menggabungkan pemain muda dan berpengalaman termasuk yang beraksi pada musim lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini