comscore
Tumpuan :
Sukan

FFP antara inisiatif MFL atasi isu tunggakan gaji

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. – Foto: NSTP 

KUALA LUMPUR: Peraturan Financial Fair Play (FFP) yang bakal diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan diimplementasikan ke atas setiap pasukan sebagai jalan untuk memastikan isu tunggakan gaji tidak melarat lebih serius.

Ia juga satu lagi instrumen untuk mengekang isu terbabit dan akan dilaksanakan mengikut ‘acuan’ dan kemampuan Liga Malaysia (Liga M).

Perkembangan itu disahkan Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

“FFP akan ikut corak dan kemampuan liga kita sendiri. Insya Allah (dapat kekang isu tunggakan gaji) kerana mereka (pasukan) kena maklumkan berapa bajet dan peruntukan, kemudiannya ia (bajet) dihantar kepada MFL.

“Dari situ, contohnya mereka dapat bajet RM10 juta, jadi MFL akan benarkan mereka berbelanja hanya RM8 juta, baki RM2 juta itu akan disimpan untuk pengurusan ataupun sebagainya.

“Kita tidak boleh benarkan mereka berbelanja RM10 juta untuk pasukan itu sendiri. Mereka kena ada simpanan di peringkat kelab itu sendiri,” kata Ghani.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan peraturan FFP akan diperkenalkan dalam masa terdekat namun pelaksanaannya dalam konteks Liga M sudah pastinya berbeza dengan pendekatan FFP yang sudah diguna pakai di liga terkemuka dunia.

Sebagai rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab pasukan untuk memastikan akaun mereka kekal sihat daripada hutang melampau.

Ketika ini, badan pengendali liga itu sudah menggunakan model Program Kawalan Ekonomi (ECP) supaya pasukan dapat mengawal perbelanjaan mereka sekali gus mereka tidak berbelanja melebihi apa yang sepatutnya.

Mula diperkenalkan pada 2020, tujuan ECP adalah untuk mewujudkan peraturan belanjawan, kriteria, prosedur dan templat pasukan Liga M bagi mematuhi peraturan selain mengelakkan mereka berbelanja secara berlebihan berdasarkan kemampuan mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini