comscore
Tumpuan :
Sukan

Fikir sebaiknya sebelum mahu ganti Victoria – Shapawi

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan kesediaan Malaysia menggantikan Victoria Australia selaku tuan rumah Sukan Komanwel 2026 adalah terburu-buru. FOTO: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan kesediaan Malaysia menggantikan Victoria Australia selaku tuan rumah Sukan Komanwel 2026 adalah terburu-buru.

Jelas Ahmad Shapawi, selain khuatir terhadap kesiap-siagaan atlet untuk bertanding, kos penganjuran juga menjadi antara isu yang paling dibimbangkan.

Tambah beliau, peranan dan tanggungjawab untuk menjadi hos temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Komanwel, bukan semudah yang disangka.

Bukan tidak pernah menganjur Sukan Komanwel, Kuala Lumpur pernah ditabal sebagai penganjur terbaik ketika edisi 1998.

Bagaimanapun ia tetap memerlukan kajian, perancangan dan komitmen seluruh pihak bagi menjayakan sesuatu temasya di Malaysia.

“Saya tidak pasti apa yang mahu kita buktikan, apa strategi dengan penganjuran Sukan Komanwel 2026?

“Adakah kita nak buktikan bahawa negara kita kaya, yang mampu ambil alih sebarang peranan negara yang tidak mampu anjurkan Komanwel.

“Ekonomi kita pun masih tidak kukuh.” jelasnya ketika dihubungi Buletin TV3.

Kos penganjuran serta persediaan atlet jelas menjadi persoalan utama dibangkitkan sejak Persekutuan Sukan Komanwel membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria, Australia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Tawaran itu disifatkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai peluang terbaik apatah lagi ia hadir dengan suntikan dana £100 juta bagi melaksanakannya.

Begitupun setakat hari ini, Malaysia belum memberi jawapan rasmi terhadap permohonan tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini