comscore
Tumpuan :
Sukan

Final Badminton Terbuka Arctic – Satu dalam genggaman, Wei Chong/Wai Kun diharap bawa satu lagi kejuaraan

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Selepas gelaran perseorangan lelaki sah milik Malaysia, kecemerlangan pasangan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun diharapkan untuk menghadiahkan kejuaraan berganda pada saingan Badminton Terbuka Arctic di Finland yang menuju kemuncak hari ini.

Biarpun cara berbeza meniti perjalanan ke perlawanan akhir, gelaran juara perseorangan lelaki malam ini sah kepunyaan Malaysia, sama ada dirangkul Lee Zii Jia atau dibawa pulang Ng TzeYong.

Bertepatan juga dengan judul pertandingan ‘Clash Of Clans Arctic Open’ pertarungan dua ‘ayam tambatan’ Malaysia, Zii Jia dan Tze Yong pasti dinanti terutama kepada peminat sukan tanah air.

Zii Jia mara ke perlawanan akhir selepas lawannya dari Denmark, Anders Antonsen menarik diri pada set kedua dengan keputusan berpihak Zii Jia 21-17, 13-8.

Tuah nampaknya terus mengiringi Zii Jia yang turut menyaksikan lawan senegara Leong Jun Hao menarik diri pada set penentuan ketika pusingan suku akhir yang membolehkan Zii Jia mencatat kemenangan 21-16, 19-21, 11-7.

Tze Yong pula mara ke perlawanan akhir mengejutkan pilihan ke-7 dari Jepun, Kanta Tsuneyama 21-12, 21-16.

Ini kemenangan ketiga Tze Yong ke atas pemain pilihan sepanjang laluannya ke final selepas menewaskan Chou Tien Chen pilihan ke-5 dari Taiwan pada pusingan kedua dan pada suku akhir mengalahkan  Lu Guang Zu pilihan ke-4 dari China.

Kali terakhir pertemuan Tze Yong menentang Zii Jia pada suku akhir Terbuka Australia Ogos lalu yang menyaksikan pertarungan sengit yang dimenangi Zii Jia, 17-21, 26-24, 21-19.

FOTO: BAM/ Facebook

Paling menarik, ini juga merupakan kemaraan pertama Zii Jia dan Tze Yong ke final bagi musim ini.

Pada satu lagi final yang membabitkan pemain negara, beregu lelaki Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang akan menentang pasangan pilihan ke-4  Denmark,  Kim Astrup-Anders Skaarup.

Perlawanan yang dijangka sukar buat Wei Chong dan Kai Wun selepas Astrup dan Skaarup menampilkan aksi mantap menyingkirkan juara dunia tiga kali  dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada separuh akhir.

Wei Chong dan Kai Wun melayakkan diri selepas mengalahkan  satu lagi gandingan Denmark, Rasmus Kjaer dan Frederik Sogaard pada separuh akhir,

Mereka bangkit daripada kekalahan 19-21 pada set pertama, dengan memenangi dua set berikutnya 21-19 dan 21-19 pada perlawanan yang berlarutan 1 jam dan 7 minit.

Kali terakhir Wei Chong dan Kai Wun mengecap kejuaraan antarabangsa, pada Terbuka Taiwan 2023 Jun lalu mengatasi beregu tuan rumah, Lu Ching Yao dan Yang Po Han.

Loading...
Terkini