comscore
Tumpuan :
Sukan

Final Piala Asia B-23 – Kapadze optimis mampu ‘layan’ Jepun tanpa tiga tonggak

FOTO: AFC

DOHA: Ketua jurulatih Uzbekistan Timur Kapadze tetap yakin pasukannya mampu mencipta kejayaan  berdepan Jepun pada aksi final Piala Asia Bawah 23 (B-23) malam ini walaupun kehilangan tiga tonggak.

Abdukodir Khusanov, Hojimat Erkinov dan Abbosbek Fayzullaev kembali ke pangkuan kelab masing-masing awal minggu ini selepas membantu  kemaraan Uzbekistan mara ke Sukan Olimpik Paris dengan kemenangan 2-0 ke atas Indonesia pada separuh akhir.

“Kami bukan hanya memiliki 11 pemain, kami ada 23 pemain, memang pemain yang kembali ke kelab mereka memberi kami kekuatan tambahan, namun kami masih memiliki pemain yang bersedia untuk bermain,

“Saya tak rasa itu masalah besar, kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapai misi kami,” kata Kapadze yang bertekad meraih kejuaraan kedua Uzbekistan selepas kejayaan pertama mengalahkan Vietnam pada 2018.

Menariknya Uzbekistan dan Jepun memiliki sejarah tersendiri pada kejohanan ini.

Kapadze yang membimbing Uzbekistan berjaya menundukkan Jepun 2-0 yang dikendalikan Go Oiwa pada edisi 2022 di separuh akhir.

Begitupun Kapadze sedar cabaran kali ini amat berbeza, pertarungan yang memburu gelaran dan Kapadze tidak menyembunyikan kesukaran yang bakal dilalui pemainnya.

“Kami berdepan perlawanan yang sukar, kami akan berusaha untuk mencapai kemenangan dengan segala kemampuan kami mengikut apa yang dirancang,

“Kami tahu mengenai Jepun dan Jepun juga tahu mengenai kami, jadi kami mengkaji permainan mereka dan masing-masing telah melakukan persiapan.

“Perlawanan pasti sukar dan menarik, saksikan bagaimana permainan kami selepas membuat perancangan ke perlawanan akhir,” ujar Kapadze.

Aksi final Uzbekistan-Jepun dijadual berlangsung di Stadium Jassim Bin Hamad, jam 11.30 waktu Malaysia malam ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini