
KUALA LUMPUR: Dianggap penerjun pilihan meraih emas acara 10 meter (m) platform lelaki pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini, kesudahannya hanya gangsa yang mampu dimenangi penerjun negara Bertrand Rhodict Lises.
Sebaliknya penampilan cemerlang penerjun Uzbekistan, Igor Myalin mencuri tumpuan apabila meraih pingat emas selepas mengumpul mata tertinggi 428.55 mata.
Seorang lagi penerjun negara, Jellson Jabillin menang perak dengan 406.00 mata.
“Saya melakukan kesilapan pada terjunan kedua dan kelima yang menyebabkan kehilangan banyak mata tetapi persembahan saya secara keseluruhannya baik.” kata Bertrand yang sekadar mengumpul 366.35 mata.
“Jurulatih turut memberitahu saya tidak boleh terlalu teruja ketika pertandingan. Ia satu pengajaran bagi saya..” tambah penerjun kelahiran Sarawak itu.
Atlet berusia 18 tahun itu yang muncul penerjun negara pertama layak ke Sukan Olimpik Paris tahun depan berkata, dia akan mengalihkan fokus kepada meningkatkan tahap kesukaran dalam kem latihan di China, bulan depan.
Sementara itu Jellson gembira dapat mengakhiri kempen dengan meraih perak pada hari terakhir kejohanan hari ini. meskipun berasa kurang sihat sepanjang kejohanan.