Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kehilangan seorang lagi jurulatih perseorangan apabila James Chua yang bertanggungjawab dalam sektor perseorangan lelaki mengambil keputusan meninggalkan badan induk itu lebih awal daripada kontraknya yang akan tamat pada 31 Disember ini.
Keputusan secara persetujuan bersama itu dibuat selepas James memutuskan untuk memilih mengembangkan kariernya sebagai ketua jurulatih di Republik Czech.
Ini bermakna, bekas Juara Terbuka Malaysia 2002 itu akan kembali berkelana ke eropah buat kali kedua.
“Ini adalah kali kedua saya ke Eropah dan apa yang saya tahu, mereka mempunyai beberapa pemain berkualiti, malah mereka juga bermain di Sukan Olimpik.
“Pada mulanya saya ragu-ragu sehinggalah rakan saya dari Belanda meminta saya memohon,” katanya.
Untuk rekod, James sebelum ini bertugas di pusat latihan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Jerman pada 2009 dan berkhidmat di Persatuan Badminton Sarawak sebelum menyertai BAM pada 2022.
Kekosongan yang ditinggalkan James itu menyaksikan sektor perseorangan lelaki kini dibimbing Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock.
Manakala K. Yogendran pula menguruskan perseorangan wanita.
BAM juga telah mula mengiklankan jawatan kosong jurulatih lelaki sejak Mei lalu, sekali gus dapat menjangkakan perubahan dan rombakan bakal dilakukan sebelum hujung tahun ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.