KUALA LUMPUR: Percaturan skuad Harimau Malaya dijangka terus terjejas apabila terlepas khidmat penyerang naturalisasi, Romel Morales.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC, malam tadi.
Susulan itu, pengendali skuad kebangsaan Pau Marti Vicente memanggil pemain muda berusia 21 tahun dari kelab Chonburi FC, Fergus Tierney bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Morales.
“Fergus dan kapten, Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Bangkok, Thailand setibanya skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti di sana, esok,” kata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan, hari ini.
Empat pemain JDT yang lain iaitu penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Mohd Hanapi sudah melapor diri bersama skuad kebangsaan.
Semalam, Vicente menggugurkan Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal Mahadi selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) minggu lalu.
Pengendali dari Sepanyol itu kemudian memanggil pemain Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya dan Fazrul Amir Md Zaman (Kelantan Darul Naim) bagi mengisi dua kekosongan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.