comscore
Tumpuan :
Sukan

Giliran Penang pula malukan Kedah

FOTO: NSTP

ALOR SETAR : Kedah Darul Aman FC terus ditimpa malang apabila tersingkir pada pusingan pertama saingan Piala FA di laman sendiri, sebentar tadi.

Skuad Nafuzi Zain yang diaibkan PDRM FC pada aksi Liga Super sebelum ini, tewas 3-4 menerusi penentuan penalti kepada Penang FC dalam saingan di Stadium Darul Aman.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 2-2 sehingga masa tambahan.

Dalam aksi itu, Kedah lebih dulu di depan menerusi jaringan kapten pasukan, Manuel Ott minit kesembilan perlawanan sebelum pelawat bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-21 melalui pemain import, Giovane Gomez.

Skuad Nafuzi kemudian tersentak dengan gol kedua Penang melalui penyerangnya, Hassan Saad pada minit ke-67 yang berjaya merembat kencang dari ruang kiri gawang tuan rumah.

Ott bagaimanapun berjaya menyelamatkan maruah Kedah dari tewas dalam aksi 90 minit selepas menjaringkan gol penyamaan seminit sebelum masa tamat melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti dan keputusan terikat 2-2 itu memaksa perlawanan disambung pada masa tambahan.

Pada masa tambahan, Kedah lebih menguasai permainan dengan melakukan beberapa serangan termasuk daripada Jonathan Balotelli namun Sang Kenari gagal mendapatkan gol tatkala Penang juga terus mengukuhkan benteng hingga membawa perlawanan ke hujung babak masa tambahan untuk penentuan sepakan penalti.

Pada aksi penuh debar sepakan penentuan itu, Penang berjaya menyempurnakan empat sepakan sementara Kedah FC pula gagal melalui dua pemainnya iaitu Lee Tuck dan Bojan Ciger. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini