comscore
Tumpuan :
Sukan

Gol Garnacho bantu United rakam kemenangan dramatik ke atas Fulham

Pemain United mengerumuni Garnacho yang menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Fulham di Craven Cottage. – Foto: Manchester United

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

LONDON: Penyerang Manchester United Alejandro Garnacho memahat namanya sebagai pemain termuda di Liga Perdana Inggeris menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan selepas Federico Macheda yang melakukannya pada April 2009.

Kedua-duanya disaksikan semasa menyarung jersi The Red Devils dengan Garnacho berusia 18 tahun 135 hari manakala Macheda pula sewaktu berumur 17 tahun 226 hari.

Garnacho yang masuk sebagai pemain gantian ketika United bertandang ke Craven Cottage menentang Fulham menyudahkan hantaran Cristian Eriksen di lewat permainan membolehkan pelawat membawa pulang 3 mata.

Skuad bimbingan Erik ten Hag bermula baik dengan mendahului di hadapan hasil gol Eriksen minit ke-14, namun bekas pemain mereka Daniel James menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan minit ke-61.

Jaringan pemisah kedua-dua pasukan oleh Garnacho pada minit ketiga masa tambahan meneruskan momentum baik pemain muda dari Argentina itu yang memperoleh gol sulung bersama skuad senior United ketika menentang Real Sociedad di Liga Europa dua minggu lalu disusuli dua lagi bantuan jaringan apabila menewaskan Aston Villa di Piala Liga pada hari Khamis.

Keputusan 2-1 ke atas Fulham memberikan kemenangan kelapan daripada 14 perlawanan dan meletakkan juara 20 kali itu di tangga kelima mengumpul 26 mata menuju rehat liga sehingga 26 Disember ini demi memberi laluan kepada pusingan akhir Piala Dunia bermula tujuh hari lagi di Qatar.

Loading...
Terkini