comscore
Tumpuan :
Sukan

Gol lewat Nunez buat Liverpool ceria

Foto; Reuters

NOTTINGHAM: Jaringan lewat pada minit ke-99 menerusi tandukan  Darwin Nunez memastikan kemenangan 1-0 Liverpool menewaskan Nottingham Forest awal pagi tadi sekali gus kekal mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini ketika mereka cuba memenangi empat trofi pada musim terakhir Jurgen Klopp membimbing kelab itu.

The Reds sekali lagi beraksi tanpa beberapa pemain ternama termasuk Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold, Alisson Becker dan Diogo Jota.

Bagaimanapun Nunez memastikan Liverpool memiliki kelebihan empat mata di hadapan pencabar terdekat Manchester City apabila menyempurnakan hantaran Alexis Mac Allister sekali gus  kemenangan pertama Liverpool di City Ground sejak 1984

“Gol itu disumbangkan oleh seorang pemain yang paling tenang di atas padang. Saya melihatnya di depan mata dan tidak akan melupakannya. Hantaran yang hebat dan gol sangat penting,” kata Jurgen Klopp.

Kemenangan menyaksikan anak buah Klopp mengumpul 63 mata tetapi City yang memiliki 59 mata mempunyai satu perlawanan dalam tangan menentang Manchester United malam ini.

Manakala Forest, kekalahan ini menyaksikan mereka  kekal empat mata di atas zon penyingkiran dan berdepan ancaman pemotongan mata kerana pelanggaran peraturan kewangan.

Loading...
Terkini