comscore
Tumpuan :
Sukan

Golf: Khavish cetus sensasi

V. Khavish Varman

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

SERI KEMBANGAN: Prestasi memukau berjaya dipamerkan pemain negara, V. Khavish Varman selepas dia muncul pendahulu bersama hari kedua saingan golf Terbuka Malaysia.

Khavish berjaya merakam catatan 6 di bawah par, mengumpul keseluruhan 13 di bawah par untuk berkongsi kedudukan teratas bersama Kevin Yuan dari Australia.

Aksi Khavish cukup mengejutkan pada pusingan kedua hari ini apabila dia berjaya melonjakkan kedudukannya di posisi teratas.

Ia selepas permainan kemas yang disajikan, merakam enam ‘birdie’ untuk mencatat 64 pukulan, 6 di bawah par.

Dan selepas catatan 7 di bawah par yang dilakarnya semalam, Khavish kini menghidupkan peluang buat pemain tempatan untuk mengintai gelaran juara Terbuka Malaysia buat kali pertama.

“Ia berjalan seperti yang dirancang, bukan satu pusingan yang mudah kerana keadaan angin agak tidak menentu, berdepan kesukaran di beberapa lubang, tetapi saya terus bersabar dan satu ‘birdie’ di setiap tiga lubang dan itulah yang berlaku, saya sangat gembira dengan prestasi saya.

“Memang sangat teruja berpeluang untuk merebut kejuaraan, sebagai pemain malaysia, memenangi kejohanan ini seperti memenangi kejohanan besar, sangat teruja untuk minggu ini’, kata Khavish kepada media.

Khavish bagaimanapun berkongsi kedudukan teratas dengan jaguh Australia, Kevin Yuan yang turut beraksi cemerlang pada sesi pagi.

‘Eagle’ lubang tiga selain tambahan tujuh ‘birdie’ menyaksikan Yuan menamatkan hari kedua dengan catatan 7 di bawah par, juga dengan jumlah 13 di bawah par keseluruhan.

“Ianya pusingan yang sangat baik, saya sangat gembira dengan permainan saya, beberapa perkara penting berlaku mengikut perancangan saya, saya dapat membuat catatan ‘eagle’ di lubang ketiga yang mana ia memulakan rentak baik saya dan saya terus bermain dengan yakin, gembira dengan keputusan yang saya catat hari ini.

“Saya rasa, akan terus buat apa yang telah saya lakukan, saya ada strategi tersendiri untuk tidak mempersiakan peluang, terus mencuba untuk mengawal gerakan angin, dapat mengikut rentaknya, membuat pukulan yang baik di antaranya, saya telah membuat keputusan yang tepat dan saya akan melakukan perkara sama nanti,’ kata Yuan.

Dalam pada itu, persembahan cukup mengujakan disajikan seorang lagi pemain negara, Ervin Chang.

Dia yang memulakan hari kedua dengan catatan 1 di bawah par bermula baik selepas mencatat dua ‘eagles’ lubang 11 dan 15.

Aksi kemasnya berterusan menerusi tambahan 6 ‘birdie’ sebelum dibayangi ‘bogey’ lubang 7 untuk dia menutup aksi dengan catatan 9 di bawah par hari ini, 10 di bawah par keseluruhan.

Ervin dan Khavish mengetuai cabaran tiga pemain negara termasuklah Jeremiah Kim Leun Kwang berjaya melepasi ‘cut off’ untuk beraksi di pusingan ketiga esok.

Paling mengejutkan, kegagalan Gavin Kyle Green untuk melepasi cut selepas dia bermain agak longlai hari ini.

Empat ‘bogey’ berturut -turut yang dialami di awal permainan memaksa dia mengakhiri saingan dengan catatan 5 di atas par hari ini untuk keseluruhan 2 di bawah par.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini