Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
BUKIT KIARA: Dua pemain golf negara membuat impak besar di hari ketiga Kejuaraan LPGA Maybank 2024 apabila menempatkan diri di kelompok 12 terbaik keseluruhan.
Paling unggul Mirabel Ting apabila melakukan 64 pukulan, mencatat lapan dibawah par untuk menduduki tempat ke-10.
Turut menjadi tumpuan ialah Ashley Lau apabila meraih enam dibawah par dengan 66 pukulan.
Mirabel memulakan saingan pagi tadi dengan baik apabila menghasilkan enam birdie pada sembilan lubang pertama.
Pemain amatur yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat itu kemudiannya menggunakan pendekatan selamat di baki saingan membolehkannya mengumpul 206 pukulan keseluruhan, 10 dibawah par.
“Saya tak tahu bagaimana untuk merumuskannya, dan tidak meletakkan sasaran besar dari kejohanan ini melainkan terus belajar dengan pemain-pemain terbaik dunia.
Walau apa jua pengakhirannya, saya akan tetap berbangga melihat usaha ini.” kata Mirabel selepas menamatkan permainan.
Ashley yang mewakili negara di Olimpik Paris pula menamatkan hari kedua terakhir dengan enam birdie menyaksikannya di tangga ke-10 keseluruhan mengumpul 206 pukulan 10 dibawah par.
“Esok menjadi hari yang normal bagi saya, kalau menjadi baguslah namun tidak akan mengubah apa-apa pendekatan.
Matlamat saya ialah seperti biasa, menikmati permainan dan bermain tanpa tekanan kerana rasanya saya bermain sangat baik dengan cara sebegitu.” jelas Ashley.
Saingan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$3 juta itu menampilkan persaingan sengit Jeeno Thitikul dari Thailand, pemain China Ruoning Yin dan Ryu Haeran dari Korea Selatan yang berkongsi kedudukan selaku pendahulu menerusi 200 pukulan 16 dibawah par.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.