comscore
Tumpuan :
Sukan

Guardiola puji De Bruyne

MANCHESTER: Penampilan pertama Kevin De Bruyne sejak mengalami kecederaan hamstring terkoyak semasa perlawanan pembukaan Liga Perdana menentang Burnley Ogos lalu, nyata menceriakan penyokong Manchester City di arena sendiri berdepan Huddersfield.

Pada aksi pusingan ketiga Piala FA Inggeris itu, De Bruyne masuk pada minit ke-57 menggantikan Julian Alvarez, ketika City sudah mendahului 2-0 hasil gol Phil Foden dan Alvarez.

Skuad kendalian Pep Guardiola melebarkan kelebihan jaringan apabila Ben Jackson menjaringkan gol sendiri dan satu lagi percubaan Foden sebelum hantaran De Bruyne, membolehkan Jeremy Doku melengkapkan kemenangan 5-0 City ke atas pasukan divisyen dua itu.

“Dia bermain untuk tempoh waktu yang sangat bagus,” kata Guardiola.

“Ia benar-benar bagus dan sekarang, seperti yang saya katakan sebelum ini, dia perlu terus berlatih dan turun lebih banyak sesi latihan, lebih daripada perlawanan. Dia masih belum bersedia untuk 90 minit.

Pengendali Sepanyol itu menambah, “Kevin membantu memenangi perlawanan dan hanya terdapat sedikit pemain (seperti dia) di dunia.”

“Itulah sebabnya sangat penting untuk mendapatkannya kembali. Kevin luar biasa, dia unik. Dia sudah kembali selepas pembedahan. Minit-minit pertamanya, kualiti bantuan untuk gol Jeremy (Doku), sangat bagus dia kembali.

Apa yang pasti, kembalinya De Bruyne akan menjadi rangsangan kepada City untuk mengekalkan trofi ‘treble’ Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada musim 2022/23.

Guardiola juga berharap skuadnya tidak lama lagi akan kembali bertenaga sepenuhnya dengan kepulangan beberapa pemain senior yang lain.

Loading...
Terkini