comscore
Tumpuan :
Sukan

Haaland dinobat pemain terbaik UEFA 

Foto Reuters

MONACO: Penyerang Manchester City, Erling Haaland dan pengurus Pep Guardiola masing-masing merangkul anugerah pemain dan jurulatih lelaki terbaik tahunan UEFA, awal pagi tadi.

Haaland mengatasi rakan sepasukan Kevin De Bruyne dan pemenang Piala Dunia 2022, Lionel Messi selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu City menjuarai tiga trofi, Liga Juara-Juara (UCL), Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

Pemain berusia 22 tahun itu yang dipilih Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional England (PFA), pada Isnin, meledak 52 gol dalam 53 perlawanan semua kejohanan musim lalu.

“Saya memenangi tiga trofi pada usia 22 tahun dan ia seperti mimpi bagi saya,” katanya ketika menerima anugerah itu di Monaco.

“Musim ini saya akan cuba mengekalkan momentum. Ramai yang fokus kepada saya dan pasukan selepas kami memenangi Liga Juara-Juara. Oleh itu kami perlu lebih tajam dan lebih bersedia.”

Guardiola pula mengatasi cabaran pengendali dari Itali Luciano Spalletti yang membawa Napoli meraih gelaran Serie A pertama mereka dalam tempoh 33 tahun dan and Simone Inzaghi yang kelabnya Inter Milan muncul naib juara UCL serta memenangi Piala Itali.

Pengurus dari Sepanyol itu tidak hadir untuk menerima trofi kerana masih dalam proses pemulihan pembedahan bahagian belakang.

Dalam kategori wanita, pengurus England Sarina Wiegman dinobatkan Jurulatih Wanita Terbaik Tahunan selepas membawa Lionesses ke final Piala Dunia.

Foto Reuters

Manakala pemenang Piala Dunia dari Sepanyol Aitana Bonmati muncul pemain terbaik. – REUTERS

Loading...
Terkini