comscore
Tumpuan :
Sukan

Hafizh fokus buru kejuaraan kedua buat JDT Racing Team

Foto: Asia Road Racing Championship / Facebook

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah kini fokus memburu kejayaan kedua buat Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team pada perlumbaan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 selepas muncul juara  pada perlumbaan pertama Litar Antarabangsa Zhuhai di China, hari ini.

Bekas pelumba MotoGP negara itu berharap  dia dapat mengekalkan momentum dalam misi untuk memburu kejuaraan esok.

Pada perlumbaan pertama hari ini, Hafizh yang bermula di petak hadapan mempamerkan tunggangan yang konsisten untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat.

Hafizh meraikan kejayaannya menjuarai perlumbaan pertama pusingan kedua kategori Asia Superbike 1000cc di Litar Antarabangsa Zhuhai di China, hari ini. – Foto: Hafizh / Facebook

“Ia bukan perlumbaan yang mudah kerana pada tiga pusingan terakhir saya mengalami kesukaran untuk menghentikan jentera,” kata Hafiz.

Dia mengatasi pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar yang berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang mewakili TKKR BMW Racing Team ketiga.

Sebagai rekod, ini adalah kejuaraan pertama JDT Racing Team pada penampilan sulung dalam ARRC dan podium kedua pasukan itu selepas Hafizh meraih tempat ketiga ketika perlumbaan kedua pusingan pertama di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Hafizh yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4R mendedikasikan kejuaraan sulung itu kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merangkap pemilik pasukan itu

“Kami akan cuba untuk memperbaikinya untuk perlumbaan kedua esok dan jika ia lebih stabil, saya percaya boleh berlumba dengan lebih baik.

“Apa pun, ini adalah kejuaraan pertama untuk JDT, saya berterima kasih kepada pasukan dan saya semua yang menyokong saya terutama bos saya Tunku Mahkota Ismail, kejayaan ini adalah untuk baginda.

“Terima kasih juga kepada rakyat dan Malaysia yang menyokong saya. Ini juga untuk anak saya,” kata Hafizh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini