comscore
Tumpuan :
Sukan

Hafizin, Afrina dinobatkan sebagai atlet terbaik MSSM

Hafizin (kanan) dan Afrina bersama hadiah kemenangan masing-masing.

KUALA LUMPUR: Atlet pelayaran, Muhammad Hafizin Mansor dan atlet olahraga Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal masing-masing dinobatkan atlet lelaki dan wanita terbaik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Hafizin, 18, dan Nur Afrina, 19, menerima pengiktirafan berkenaan pada Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2023, baru-baru ini.

“Menceburkan diri dalam sukan adalah keputusan terbaik dalam hidup saya. Saya bertekad menjadikan kemenangan ini untuk memberi inspirasi kepada atlet lain agar cemerlang dalam bidang sukan seperti saya.

“Saya yakin kemenangan ini akan menjadi batu loncatan dalam perjalanan saya ke arah pencapaian yang lebih besar,” kata Hafizin.

Sementara itu, Nur Afrina, berkata: “Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini. Pencapaian ini bukan sahaja satu ganjaran besar bagi saya tetapi juga menjadi dorongan kepada saya untuk terus mengejar impian,” katanya.

Antara bekas pemenang sebelum ini adalah bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dan jaguh pecut, Muhammad Azeem Fahmi.

Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2023 turut memberi pengiktirafan kepada empat jurulatih profesional, pelatih dan guru yang memainkan peranan penting dalam mencungkil dan membangunkan bakat muda.

Pengurus Pemasaran Sukan MILO, Nestle Malaysia Berhad, Lim Ker Win berkata, anugerah berkenaan adalah salah satu daripada misi penting pihaknya untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan anak muda yang akan memperkasakan mereka untuk mengejar kecemerlangan.

“Pengiktirafan ini hanyalah sebagai permulaan, kami teruja untuk melihat bagaimana mereka akan terus berkembang sebagai individu dan juga atlet di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kami turut menyanjung tinggi kesungguhan dan sokongan luar biasa daripada ibu bapa, jurulatih dan guru,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini