
HANGZHOU: Ketika sebahagian besar kontinjen Malaysia meneruskan perjuangan memburu pingat pada Temasya Sukan Asia yang memasuki hari kelima hari ini, skuad pelayaran negara boleh tersenyum puas apabila sasaran ditetapkan berjaya dicapai.
Mereka menutup tirai saingan di Sukan Asia kali ini dengan satu emas dan dua gangsa, mencapai sasaran 3 pingat yang disandarkan Persatuan Pelayaran Malaysia (PPM).
Lebih manis, Nur Shazrin Mohamad Latif layak ke Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit selepas memenangi pingat emas acara ILCA 6.
Dua pingat gangsa pula disumbangkan menerusi Asnawi Iqbal Adam dalam acara ILCA 4 lelaki manakala Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen acara Windsurfing RSX Wanita.
Tujuh pelayar negara beraksi dalam enam daripada 14 acara yang dipertandingkan di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, bermula dari 21 September dan berakhir semalam.
Skuad pelayaran dibarisi Olimpian Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara lelaki ILCA 7;, Nur Shazrin Mohamad Latif (ILCA 6 wanita); Muhammad Asnawi Iqbal Adam (ILCA 4 lelaki); Muhammad Fauzi Kaman Shah-Juni Karimah Noor Jamali (470 campuran); Muhammad Izzudin Abdul Rani (RS:X lelaki); dan Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen (RS:X wanita).
Pada edisi Jakarta-Palembang 2018, skuad pelayaran negara meraih emas kelas ILCA 4 menerusi Muhammad Fauzi, selain satu perak dan tiga gangsa.