comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2022: Pasukan skuasy lelaki benam Jepun dan Thailand

Barisan pemain skuasy lelaki negara bekerja keras merakam dua kemenangan dalam aksi kumpulan B hari ini di Pusat Skuasy Hangzhou Olympic Sports Park Expo Center. – Foto: Facebook Majlis Sukan Negara

HANGZHOU: Momentum skuad skuasy lelaki negara di Sukan Asia ke-19 terus mantap dengan merakam dua lagi kemenangan peringkat kumpulan B hari ini.

Beraksi di Pusat Skuasy Hangzhou Olympic Sports Park Expo Center, Malaysia menumpaskan Jepun 3-0.

Ivan Yuen memberikan mata pertama selepas bertarung sengit lima set 6-11, 11-4, 4-11, 11-6 dan 11-6 menewaskan Tomotaka Endo.

Ng Eain Yow kemudian menggandakan kelebihan negara dengan kemenangan 3-1 menerusi 11-7, 6-11, 13-11 dan 11-6 ke atas Ryunosuke Tsukue.

Pemain ketiga, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar kemudian mengesahkan kemenangan Malaysia apabila membenam cabaran Naoki Hayashi 3-0 hasil permainan 11-5, 11-6 dan 11-4.

Barisan bimbingan Ajaz Azmat dan Andrew Cross itu kemudian hanya mampu berehat beberapa jam sahaja sebelum bermain perlawanan ketiga kumpulan menentang Thailand malam ini.

Addeen Idrakie yang mengambil tugasan selaku pemain pertama merakam kemenangan mudah 3-0 menewaskan Ravipun Limphaiboon 11-4, 11-1 dan 11-1.

Mata kedua disumbang Eain Yow juga dengan catatan sama mengalahkan Arkaradet Arkarahirunya 11-4, 11-1 dan 11-4.

Mohammad Syafiq Mohd Kamal memastikan Malaysia mengumpul kemenangan keempat apabila membenam Natthapat Theerasilp 11-1, 11-1 dan 11-2.

Aksi terakhir dan penentuan juara kumpulan menjadi tumpuan apabila berdepan satu lagi pasukan pilihan Hong Kong petang esok.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini