
HANGZHOU: Malaysia mengambil alih kedudukan teratas kumpulan B saingan hoki lelaki Sukan Asia ke-19 seketika apabila mengumpul kemenangan ketiga petang tadi.
Dalam aksi menentang Indonesia yang dimainkan di padang Gongshu Canal Sports Park, anak buah A. Arulselvaraj itu sekali lagi mencetak kemenangan besar dengan keputusan 9-2.
Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyumbang dua gol dari pukulan sudut penalti yang dihasilkan minit (m) ke-19 dan 35.
Tujuh lagi pemain tidak ketinggalan turut mencatat nama selaku penjaring negara iaitu Mohamad Ashran Hamsani (m-5), Muhammad Firhan Ashaari (m-17), Shello Silverius (m-38) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m-42) dari gerakan padang.

Diiringi penyudah pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari (m-33), Muhammad Razie Abd Rahim (m-43) dan Muhammad Aminuddin Mohd Zain (m-48).
Lawan yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah hanya mampu meraih dua gol dari penyudah padang Ahdan Asasi (m-15) dan penalti Aulia Al Ardh (m-55).
Momentum mantap itu memastikan Speedy Tigers mengumpul sembilan mata berbaki dua lagi pertemuan penting, menentang Korea Selatan Sabtu ini disusuli perlawanan terakhir dan kelima melawan China 2 Oktober nanti.
“Walaupun kami menewaskan Indonesia 9-2 namun persediaan mental pemain untuk aksi hari ini agak kurang memuaskan kerana terlalu banyak kesilapan mudah yang tidak patut berlaku dan ia agak mengecewakan saya.
“Baru-baru ini ketika di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia, kami menewaskan mereka dua kali. Saya berharap ia sedikit sebanyak memberikan semangat dan keyakinan buat pemain untuk menentang Korea Selatan.” kata Arulselvaraj yang mahukan pasukannya mara ke fasa separuh akhir di Hangzhou selaku juara kumpulan.