comscore
Tumpuan :
Sukan

Hanya satu keputusan yang mampu diterima peminat – juarai Euro 2024

Sebagai tuan rumah Euro 2024, Jerman memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila kejohanan itu membuka tirai pada 14 Jun ini. – Foto DFB/GES-Sportfoto

BERLIN: Jerman akan memulakan misi memburu gelaran major pertama dalam tempoh 10 tahun apabila tuan rumah Euro 2024 itu bertemu Scotland dalam aksi pembukaan Kumpulan A esok.

Jerman menjuarai empat edisi Piala Dunia dan tiga Kejuaraan Eropah tetapi reputasi sebagai gergasi bola sepak dunia dan Eropah mereka mula tercalar selepas menjuarai Piala Dunia 2014 di Brazil.

Mereka tersingkir di peringkat kumpulan pada dua edisi Piala Dunia berikutnya, pencapaian terburuk dalam tempoh 80 tahun, dan tersingkir di peringkat 16 terakhir pada edisi Euro sebelum ini.

Dengan kejohanan kali ini berlangsung di laman sendiri, hanya satu keputusan yang mampu diterima peminatnya – menjuarai Euro 2024.

Jerman tetap bersemangat mengungguli Euro kali ini walaupun deretan keputusan sejak kekecewaan di Piala Dunia 2022 tidak menyebelahi mereka, termasuk kekalahan 4-1 di tangan Jepun pada September.

Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann, yang mengambil alih pasukan pada Oktober 2023, menyatakan misi mereka di Euro 2024.

“Matlamat kami adalah memenanginya. Ia sama dalam semua pertandingan lain. Mungkin ia bukan tindakan yang baik buat kami untuk menyatakan hasrat menjadi juara Eropah.

“Kami akan menyahut cabaran itu. Ia tugas yang besar, ia pasti mencabar, dan tentunya bukan peluang yang muncul setiap masa,” kata Nagelsmann.

Jerman menampilkan gandingan pemain-pemain muda berbakat, termasuk Jamal Musiala dan juara baharu Bundesliga, Florian Wirtz, serta pemain-pemain veteran berpengalaman seperti pemenang Piala Dunia 2014, Manuel Neuer, Thomas Mueller dan Toni Kroos.

Ketajaman jentera serangan Jerman pula bergantung kepada kemampuan Kai Havertz, manakala Niclas Fuellkrug sebagai penyerang simpanan.

Tugas pertama adalah mengatasi Scotland, yang beraksi di dua Kejuaraan Eropah berturut-turut buat julung kali sejak tahun 1996.

Tampil sebagai pasukan bukan pilihan, Scotland berharap dapat melakar kejutan untuk melepasi peringkat kumpulan buat pertama kali selepas 11 kejohanan antarabangsa. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini