comscore
Tumpuan :
Sukan

Harap penyokong percaya kepada proses pembentukan semula pasukan – Azrai

Azrai Aizad Abu Kamal. – FOTO: MHC

IPOH: “Kekalahan kepada Pakistan bukan bermakna dunia sudah berakhir, ia sesuatu yang baik untuk pemain muda yang berada dalam pasukan untuk belajar,” demikian kata pemain hoki kebangsaan, Azrai Aizad Abu Kamal selepas kekalahan 4-5 skuad negara di tangan Pakistan pada aksi sulung Piala Sultan Azlan Shah semalam.

Menurut Azrai, 24, yang berjaya mencipta hatrik pada perlawanan itu, banyak perkara positif yang boleh dipelajari daripada perlawanan berkenaan dan penyokong negara seharusnya percaya skuad kebangsaan kini dalam proses pembentukan semula.

“Ini pasukan baharu, kami memiliki ramai pemain muda, itu perlawanan terbaik buat mereka ada juga perlawanan peringkat senior pertama.

“Mereka telah beraksi banyak permainan peringkat junior dan ini satu peningkatan buat mereka.

“Sekarang mereka tahu bagaimana tahap permainan yang tinggi dan beraksi pada peringkat senior.

Pengalaman ini membantu mereka untuk membina keyakinan dan persefahaman antara pemain.

“Kita mesti beri motivasi kepada pemain muda bukan menekan mereka bila mereka melakukan kesilapan,” tegas Azrai.

Antara pemain baharu yang dipanggil ketua jurulatih Sarjit Singh untuk membentuk skuad kebangsaan ialah Syarman Mat Tee, Alfarico Liau, Azimuddin Kamaruddin, Shafiq Hassan dan Muhajir Abdu Rauf.

‘Kekalahan kepada Pakistan memang mengecewakan tetapi itu perlawanan pertama dan kami beraksi baik, kadang-kadang kita perlukan nasib dan tahu caranya untuk memenangi sesuatu perlawanan,” ujar pemain Tenaga Nasional Berhad itu yang muncul penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia musim ini dengan 32 gol.

Pada perlawanan kedua Malaysia akan menentang Kanada malam ini.

Saingan Piala Azlan Shah antara persiapan pasukan kebangsaan menghadapi Piala Negara-Negara yang dijadual  berlangsung di Poland dari 31 Mei sehingga 9 Jun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini