comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya bukan sekadar pelengkap kuota – Faisal 

Majlis ‘Send Off’ Harimau Malaya Ke Doha, Qatar bersama Malaysia Airlines sebagai rakan penaja utama FAM bermula 1 Januari 2024, di Golden Lounge, KLIA, Sepang, pagi tadi.

SEPANG: “Kita ke sana bukan sekadar melengkapkan kuota, tetapi untuk memberi saingan kepada pasukan lain,” itu kata-kata Mohamad Faisal Abdul Halim sebelum berlepas ke Doha bersama skuad Harimau Malaya untuk cabaan Piala Asia 2023 di Qatar, pagi tadi.

Menurut penyerang Selangor FC itu, fokus pasukan ketika ini ialah perlawanan pembukaan saingan Kumpulan E menentang Jordan, pada 15 Jan ini.

“Itu (aksi bertemu Jordan) merupakan titik penting kita, sekiranya berjaya mendapatkan keputusan positif pada perlawanan pertama, tiga mata atau pun seri, ia akan memberi semangat kepada pasukan untuk menghadapi Bahrain,” katanya.

Berkongsi pengalaman mengharungi latihan yang berintensiti tinggi di Wisma FAM, Faisal akui peningkatan kadar intensiti latihan itu, telah dilaksanakan Pan Gon sepanjang seminggu kem latihan pusat skuad kebangsaan yang bermula 26 Disember lepas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.

“Tekanan memang terasa, seminggu berlatih tekanan pun tinggi, jurulatih Kim ada buat perubahan sikit dari segi intensiti…dari hari pertama berlatih sampai Sabtu kami diberikan intensiti latihan yang lebih tinggi.

“Pada saya, kita ada lagi dua minggu untuk sesuaikan dengan latihan intensiti lebih tinggi dan laju, dan permainan akan (bertambah baik) menjadi lebih sedap,” katanya.

Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey berkata demikian ketika ditemui sebelum pasukan negara berlepas ke Doha di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpu (KLIA) Terminal 1 di sini, tengah malam tadi.

Selepas bertemu Jordan, Harimau Malaya  yang menyasarkan untuk layak ke pusingan 16 terbaik akan berdepan Bahrain pada 20 Jan dan menutup saingan kumpulan dengan menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik, akan layak ke pusingan 16 terbaik di Doha.

Malaysia tidak pernah melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Asia, selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu.

Sementara itu, FAM telah mengadakan majlis ‘Send Off’ Harimau Malaya’ ke Doha di Golden Lounge, KLIA, Sepang, awal pagi tadi.

Loading...
Terkini