comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya tekad bangkit

Foto: FAM/Facebook

PETALING JAYA: Tempoh dua hari menjelang pertemuan menentang Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E dalam kempen Piala Asia 2023, dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad Harimau Malaya.

Selepas kekalahan 0-4 kepada Jordan, 16 Januari lalu, pasukan kebangsaan kembali semula ke padang latihan di Universiti Qatar, dengan keazaman tinggi.

Itulah sepatutnya yang dilakukan, kerana yang sudah terjadi tidak perlu ditangisi dan dikesalkan lagi.

Sebaliknya ia perlu dijadikan iktibar dan perangsang agar mereka tampil lebih baik dan efektif selepas ini.

Foto: FAM/Facebook

Apa yang pasti masih ada ruang untuk Kim Pan Gon merancang semula strategi baharu berdasarkan persembahan perlawanan pertama.

Bagi Stuart Wilkin, pemain yang dilihat paling menyerlah ketika sebahagian besar tonggak tampil longlai dalam penampilan sulung di Stadium Al Janoub itu, mereka tewas dengan kebijaksanaan Jordan menggunakan pengalaman mereka.

“Kami perlu atasi kelemahan dan belajar sesuatu supaya tidak melakukan perkara sama dalam perlawanan berikutnya menentang Bahrain,” ujar pemain  Sabah FC itu.

Pemain pertahanan JDT, Shahrul Mohd Saad pula menegaskan tidak timbul persoalan jurulatih Pan Gon salah percaturan semasa pertemuan dengan Jordan.

Foto: FAM/Facebook

Bezanya lawan lebih matang dalam situasi-situasi tertentu selain efektif dalam memanfaatkan peluang berbanding Malaysia.

“Dia (Pan Gon) minta maaf, sebenarnya bukan salah dia, kita kalah satu pasukan, jadi kita kena terima keadaan ini dan saya masih lagi percaya kita mampu ubah keadaan ini bertemu Bahrain,” tegas Shahrul.

Keyakinan juga masih  menebal di hati penggempur sandaran negara, Faisal Halim, antara pemain yang dikritik hebat susulan aksi tidak menjadi menentang Jordan.

“Kami masih ada lagi dua perlawanan dan peluang untuk kita orang cakap sukar, tapi dalam bola sepak kena usaha dulu dan buat terbaik, sekurang-kurangnya kami membanggakan rakyat Malaysia,” kata Faisal.

Perlawanan menentang Bahrain dijadual jam 10.30 malam di  Jassim Bin Hamad Stadium, Al Rayyan, Sabtu ini.

Menyaksikan situasi tampak tenang di kem latihan ia diharap mampu menerap keyakinan seterusnya tuah mengiringi  Harimau Malaya pada pertemuan hidup mati itu nanti.

Loading...
Terkini