comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya tewas kepada Oman

Aksi pemain kebangsaan Faisal Halim ketika menentang Oman pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat.- Foto FAM

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalami kekalahan pertama selepas tewas 0-2 kepada pasukan ranking dunia ke-80 Oman pada perlawanan ketiga Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang menghuni ranking ke-132 dunia, hilang status sebagai pendahulu kumpulan apabila jatuh di tangga ketiga

Meskipun berkongsi enam mata bersama Oman yang menerajui kumpulan dan Kyrgyzstan di tangga kedua dengan perbezaan gol.

Dua jaringan Oman terhasil pada separuh masa kedua oleh gandingan penyerang Issam Al Sabhi dan Muhsen Al Ghassani.

Penjaring gol pertama Oman, Issam Al-Sabhi meraikan jaringannya. – Foto Oman FA

Sekaligus memberikan permulaan sempurna buat ketua jurulatih baharu Jaroslav Silhavy yang pertama kali membimbing Red Warriors sejak dilantik bulan lepas.

Pada pertembungan itu, anak buah Silhavy yang mendominasi perlawanan sejak permainan bermula buntu dalam usaha mencipta jaringan dalam 45 minit pertama biarpun memiliki beberapa peluang terbaik

Namun penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertindak cemerlang di gawang.

Antara peluang keemasan dimiliki Oman adalah menerusi tandukan Omer Al Malki pada minit ke-14 yang diselamatkan Ahmad Syihan berdekatan garisan gol dan rembatan deras Salaah Al Yahyae dari arah sebelah kiri kotak penalti pada minit ke-32, juga berjaya ditampan keluar.

Bagaimanapun, usaha berterusan Oman berjaya membuahkan hasil apabila akhirnya memecah kebuntuan gol menerusi Issam yang menerima hantaran Ali Sulaiman Al-busaidi sebelum melepasi kawalan La’vere Corbin-Ong dan melepaskan rembatan dari jarak dekat pada minit ke-58.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia pantas menunjukkan respons positif, namun tidak bernasib baik untuk menyamakan kedudukan selepas tandukan Corbin-Ong berpunca sepakan penjuru Mohamad Faisal Abdul Halim hanya menggegar palang pada minit ke-61.

Nasib sekali lagi tidak berpihak Malaysia apabila jaringan Josue pada minit ke-81 dibatalkan kerana ofsaid dan Oman melengkapkan kemenangan penting mereka dengan gol kedua menerusi penyudah Muhsen yang memanfaatkan hantaran Ali Sulaiman pada minit ke-88.

Kemenangan tersebut menyaksikan Oman terus kebal berdepan Malaysia di laman sendiri apabila turut tidak tewas dalam dua pertemuan terakhir sebelum ini sejak 2010.

Malaysia bagaimanapun berpeluang membalas dendam apabila melayani kunjungan Oman pada perlawanan keempat Kumpulan D di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Selasa depan.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini