
TOULOUSE: Liverpool tewas mengejut 2-3 kepada Toulouse awal pagi tadi, namun pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu terus mendahului Kumpulan E Liga Europa setakat ini.
Bagaimanapun, perlawanan itu berakhir dengan kontroversi apabila pembabitan VAR menyaksikan gol penyamaan jaringan Jarell Quansah pada masa kecederaan dibatalkan.
“Kami berhak kalah kerana mereka memenangi banyak perebutan bola,” kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp ketika pasukannya terlepas peluang melayakkan diri ke pusingan kalah mati lebih awal.

Luis Diaz bermula dalam kesebelasan utama Liverpool beberapa jam selepas bapanya yang diculik dibebaskan.
Kekalahan mengejut di Perancis hadir menerusi gol Aron Donnum, Thijs Dallinga dan Frank Magri ketika Liverpool mengalami kekalahan sulung mereka dalam kempen Liga Europa musim ini.
Dua gol Liverpool hasil jaringan sendiri pemain Toulouse dan satu lagi sumbangan Diogo Jota, 9 minit sebelum tamat perlawanan.
Toulouse kini mengumpul tujuh mata, dua mata di belakang Liverpool dan tiga di depan pasukan tangga ketiga St Gilloise.
Sementara itu, West Ham berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas menang tipis 1-0 ke atas Olympiakos, manakala sebuah lagi kelab EPL, Brighton semakin hampir apabila membenam Ajax 2-0. – AGENSI