SEREMBAN: Hasrat skuad Hobin Jang Hobin untuk melakar kemenangan pertama di laman sendiri musim ini masih tidak kesampaian.
Malah, semangat layak ke suku akhir Piala Malaysia belum cukup buat Negeri Sembilan FC (NSFC) meneruskan rentak kejayaan apabila tewas kepada Selangor FC 0-4 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Pasukan bimbingan K Nanthakumar itu nyata bukan tandingan buat Selangor yang tampil dengan persembahan agresif sehingga mendominasi sebahagian besar perlawanan ke-16 liga itu.
Sebaik perlawanan bermula, anak buah Kinoshi Katsuhito sudah melakukan gerakan merbahaya ke kawasan gol tuan rumah dan Alif Haiqal Lukman Hakim berjaya meledak gol pertama Selangor pada minit ke-15.
Pemain lincah itu bijak memanfaatkan hantaran lintang Ali Iyad Ali Olwan untuk menyepak bola deras menewaskan penjaga gol tuan rumah, Tauffiq Ar Rashid Johar.
Negeri Sembilan yang tersentak dengan jaringan itu cuba memperkemaskan jentera pasukan dan berusaha memberikan tentangan terhadap skuad Merah Kuning.
Sebaliknya, Selangor melebarkan lagi jurang mereka menerusi gol kedua dijaringkan Alvin Mateus Fortes pada minit ke-39 hasil sepakan deras dari jarak kira-kira 30 meter yang terkena tiang lalu menerjah jaring.
Ketika aksi separuh masa pertama menghampiri penghujungnya, Negeri Sembilan menerima tamparan apabila pemain pertahanan berpengalaman, Che Rashid Che Halim dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohamad Hanafiah pada minit ke-43 kerana mengasari pemain lawan.
Selangor tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol ketiga sebaik separuh masa kedua bermula, apabila gerakan solo dari sebelah kiri oleh pemain pertahanan, Quentin Cheng Jiun berjaya merembat bola deras terus menerjah jaring pada minit ke-47.
Angkara kesilapan penjaga gol Negeri Sembilan, Tauffiq Ar Rasyid Johar yang gagal mengeluarkan bola jauh dari kawasan gol, dimanfaatkan sebaik mungkin Yohandry Jose Orozco untuk menjaringkan gol keempat Selangor pada minit ke-60.
Keputusan 4-0 itu kekal sehingga ke wisel penamat sekali gus mengukuhkan cengkaman Selangor di tangga kedua carta Liga Super.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.