
NEWCASTLE: Justin Kluivert meledak hatrik untuk membantu Bournemouth menewaskan Newcastle United 4-1 di St. James’ Park, malam ini.
Kemenangan itu juga menamatkan catatan enam kemenangan berturut-turut Newcastle dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) manakala penyerangnya Alexander Isak gagal meledak sebarang gol.
Penyerang Sweden itu sebelum ini menjaringkan gol dalam lapan perlawanan liga berturut-turut.
Kemenangan itu juga melonjakkan Bournemouth ke tangga keenam liga dengan 37 mata, di belakang pasukan tangga kelima Chelsea menerusi perbezaan jaringan, manakala Newcastle kekal di tangga keempat dengan 38 mata.
Kluivert meletakkan Bournemouth di depan pada minit keenam dengan satu rembatan padu dan sekalipun Bruno Guimaraes menyamakan kedudukan buat tuan rumah susulan sepakan sudut pada minit ke-25, Kluivert meledak sekali lagi seminit sebelum rehat untuk membantu pasukannya mendahului 2-1.
Newcastle bergelut untuk mencipta peluang dan Kluivert, yang mana bapanya mampu menyumbat satu gol di St James’ Park ketika beraksi semusim bersama The Magpies pada 2004-05, melencongkan gol ketiga yang menarik pada minit kedua masa kecederaan sebelum Milos Kerkez melengkapkan kemenangan besar itu pada minit ke-96. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.