comscore
Tumpuan :
Sukan

Heung-min Sedia Perkuat Korea Selatan di Piala Dunia

Son Heung-Min antara watak penting buat skuad kebangsaan Korea Selatan. -Foto Reuters.

UNITED KINGDOM: Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengesahkan dirinya cergas untuk mewakili Korea Selatan di Piala Dunia, Qatar 2022.

Penyerang berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan di mata kirinya ketika membantu Tottenham menewaskan Marseille 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, minggu lalu.

Ia sekaligus menimbulkan keraguan dikalangan penyokong Korea Selatan bahawa bintang mereka akan terlepas beraksi di Piala Dunia Qatar kerana terpaksa menjalani pembedahan, baru-baru ini.

Bagaimanapun Son sendiri memaklumkan pembedahan matanya berjalan lancar dan dia percaya dapat bersama pasukan kebangsaannya dalam masa terdekat.

“Saya hanya mahu meluangkan sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas mesej dan sokongan yang saya terima sepanjang minggu lalu.

“Saya telah membacanya dan benar-benar menghargai anda semua. Dalam masa yang sukar ini, saya menerima banyak kekuatan daripada anda.

“Bermain untuk negara di Piala Dunia adalah impian ramai kanak-kanak dan ia sama seperti saya. Saya tidak akan terlepas dan saya juga tidak sabar untuk mewakili negara kita yang indah (Korea Selatan). Jumpa anda semua tidak lama lagi,” kata Son menerusi kemaskini terbaharunya di akaun Instagram.

Ketua Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento akan mengumumkan senarai akhir 26 pemain ke Piala Dunia, Sabtu ini.

Pasukan yang dikenali dengan gelaran “Taegeuk Warriors” itu dijadual membuka saingan kumpulan H menentang Uruguay pada 24 November, disusuli melawan Ghana, 28 November dan Portugal, 2 Disember.

Loading...
Terkini