comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Benam Bangladesh, skuad hoki remaja negara buat persediaan jumpa Korea Selatan

Foto : Malaysian Hockey Confederation / Facebook

SALALAH: Pasukan hoki remaja negara mahu memanfaatkan sebaik mungkin tempoh rehat sehari selepas menewaskan Bangladesh semalam sebagai persediaan menghadapi Korea Selatan dalam aksi ketiga kumpulan B Piala Asia di Oman.

Jurulatihnya, Muhammad Amin Rahim berkata mereka mempunyai beberapa perkara untuk dilakukan sebagai persiapan menentang lawan yang mempunyai reputasi juara pada 2000.

“Rehat tu kita akan gunakan untuk pemulihan, pemain harus lakukan prosesnya dengan betul, minum air dengan banyak, rehat, analisa video apa yang telah kita lakukan, untuk tambah baik perlawanan menentang Korea Selatan,” kata Amin selepas melihat anak buahnya mengatasi Bangladesh 5-1.

Perlawanan kedua diantara yang dimainkan di Sultan Qaboos Youth Complex, Salalah itu menyaksikan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini menceriakan negara menerusi gol padang pembukaan minit kelapan.

Pemain negara kian garang apabila menghasilkan dua gol dalam tempoh dua minit hasil penyudah pukulan sudut penalti Shahmie Irfan Suhaimi dan Mohd Syamim Naim Abd Hamid.

Foto : Malaysian Hockey Confederation / Facebook

Bangladesh dapat juga mencuri satu gol dari pukulan sudut penalti Mohd Abdullah, tetapi malaysia membalas dua lagi gerakan sama mantap oleh Shahmie di suku terakhir membolehkannya melakar hatrik.

“5-1 adalah jaringan yang agak baik secara keseluruhan, saya nak puji para pemain kerana mereka kekal berdisiplin sepanjang 60 minit permainan, mengikut perancangan permainan yang kita aturkan, inilah hasilnya yang kita perolehi,”

Aksi mantap skuad negara memastikan mereka mengutip enam mata daripada dua perlawanan, bersama-sama dengan Korea Selatan, tetapi dibezakan satu gol sahaja.

Pertemuan Malaysia – Korea Selatan esok dijadual jam 12 tengah malam waktu Malaysia.

Loading...
Terkini