comscore
Tumpuan :
Sukan

Hoki – Faizal Saari kembali perkuat skuad kebangsaan hadapi kempen Kejohanan FIH Piala Negara-Negara

Datuk Najmi Razak bersama ketua jurulatih, Arul Selvaraj dan pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi. – FOTO: MHC

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL: Penyerang prolifik negara, Faizal Saari kembali memperkuatkan skuad hoki kebangsaan apabila namanya tersenarai dalam kalangan 20 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia ke Kejohanan FIH Piala Negara-Negara (FIH Nations Cup) yang akan berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan hujung bulan ini.

Faizal antara empat pemain yang tidak beraksi di Ipoh ketika Malaysia merakam kejuaraan pertama pada kempen Piala Sultan Azlan Shah.

Selain Faizal, turut dipanggil menyertai pasukan negara adalah Mohd Ramadan Rosli, manakala Adrian Andy Albert (penjaga gol) dan Syarman Mat Tee (pertahanan) dipanggil bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohd Zaimi Mat Deris dan Muhammad Syafiq Hassan yang mengalami kecederaan.

“Saya rasa selepas Faizal kembali dan menyertai sesi latihan, dia melakukannya dengan baik, tetapi dia pun tahu, saya tidak letak apa-apa sasaran kepada dia, dia adalah sebahagian dari pasukan kita dan dia perlu sesuaikan diri dengan pasukan,” kata Arul Selvaraj, jurulatih kebangsaan.

Arul turut mengesahkan Najmi Farizal Jazlan kekal selaku kapten pasukan negara, sementara senarai akhir 18 pemain hanya akan diputuskan selepas skuad Malaysian Tigers tiba di Afrika Selatan.

“Anda boleh lihat apa yang berlaku dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah, kita tidak bermula dengan baik, akhirnya kita dengan semangat juang yang tinggi, dengan arahan-arahan jurulatih, diikuti oleh pemain, tempo bertukar, nasib kita bertukar dan pemain-pemain sendiri sedar, kalau kita kalah, tak semestinya kita kalah sampai habis, kalau kita menang tak semestinya kita menang sampai jadi juara, jadi itu pengajaran paling baik, sebab saya beritahu kepada pemain, belajar daripada apa yang terjadi di Sukan Asia, Piala Asia, kita bermula dengan baik tetapi kita tidak jadi juara.

“Saya rasa mereka tahu apa yang patut dipersembahkan pada Nations Cup tqhun ini, walaupun kita di ranking teratas, masuk ke separuh akhir dan buktikan anda boleh menjadi juara, jadi sasaran awal kita adalah mara ke separuh akhir dan kemudian mengejar kejuaraan,” kata Datuk Najmi Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan MHC.

Pada kejohanan yang akan membuka tirai 28 November ini, kesemua pasukan dibenarkan untuk membawa 20 pemain, namun, hanya 18 pemain boleh didaftarkan dengan baki dua pemain diletakkan dalam keadaan siap sedia bagi menggantikan mana-mana pemain sekiranya berlaku kecederaan atau risiko jangkitan Covid-19.

Skuad negara akan berlepas ke Potchefstroom malam esok dan bakal memulakan saingan peringkat kumpulan B menentang Korea Selatan (28 Nov), diikuti perlawanan bertemu Kanada (29 Nov) sebelum menghadapi Jepun (1 Dis).

Dan berikut senarai penuh pemain negara:

Penjaga Gol
– Muhammad Hafizuddin Othman
– Andrian Andy Albert

Pertahanan
– Muhammad Razie Abd Rahim
– Muhammad Najmi Farizal Jazlan
– Zulpidaus Mizun
– Muhammad Aminuddin Mohd Zain
– Muhammad Najib Abu Hassan
– Syarman Mat Tee

Tengah
– Muhammad Firhan Ashaari
– Faiz Helmi Jali
– Meor Muhammad Azuan Hassan
– Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi
– Muhammad Amirul Hamizan Azahar

Penyerang
– Norsyafiq Sumantri
– Mohamad Ashran Hamsani
– Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim
– Shello Silverius
– Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal
– Faizal Saari
– Muhamad Ramadan Rosli

Loading...
Terkini