comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI : Hanis akui kesal, terima hukuman yang dikenakan dengan hati terbuka

Hanis Nadiah Onn

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL : Pemain penyerang Malaysian Tigress, Hanis Nadiah Onn akui kesal dengan segala yang terjadi dan bertekad tidak akan mengulangi perkara sama.

Ketika ditemui media selepas berakhirnya aksi Piala Sumbangsih wanita Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam, Hanis turut menyatakan dia menerima hukuman yang dikenakan dengan hati terbuka.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam mengeluarkan kenyataan rasmi dimana Hanis dikenakan hukuman penggantungan, tidak boleh mewakili Malaysia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa dengan namanya turut tidak akan tersenarai ke temasya Sukan Sea yang akan berlangsung di Kemboja tahun ini.

Ia selepas siasatan yang dijalankan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mendapati Hanis bersalah atas tindakannya membuat ciapan berbaur perkauman.

“Tentang isu penggantungan kepada saya, saya terima dengan hati terbuka, saya ikut apa yang kenyataan dikeluarkan kementerian (KBS), dan MSN, saya boleh komen dengan hati terbukalah, saya sedialah, jadi saya harap saya tidak akan ulanginya dan kepada semua atlet, mungkin kena berhati-hati sikit selepas ini.

“Untuk bermain liga, jurulatih tidak pesan apa-apa, saya fokus, masalah letak tepi, saya akan beri komitmen kepada pasukan untuk rebut tiga piala dekat dalam liga ini, jadi setakat ini satu piala sudah berada dalam genggaman Negeri Sembilan.

“Sebagai atlet, kita tahu benda ni akan mengganggu, tetapi saya sebagai seorang pemain professional, saya akan letak ke tepi, beri komitmen kelab sebab mereka telah jaga saya juga, saya hormati kelab saya, saya juga hormati MHC, mereka pun menjaga saya juga.

“Saya sebenarnya tidak jangka perkara ini boleh berlaku, tetapi orang boleh berkata apa-apa, tetapi saya terima saja, kita sebagai atlet pun kita tahu ada batasnyalah.

“Saya ambil benda ni macam biasa, sekiranya saya beraksi cukup baik dalam liga, kemudian persatuan memberi ruang kepada saya, saya akan kembali dan saya akan buktikan kepada masyarakat yang saya masih relevan dalam arena hoki negara,” kata Hanis selepas perlawanan Piala Sumbangsih semalam.

Hanis semalam membantu pasukannya, Negeri Sembilan menjulang Piala Sumbangsih dengan mengatasi KPT Uniten Thunder 2-1 menerusi penentuan ‘shootout’ selepas aksi sepenuh masa berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Untuk rekod, Hanis mula menyarung jersi kebangsaan pada 2014 dan terus diberi kepercayaan mengemudi barisan serangan skuad hoki wanita kebangsaan dalam beberapa kejohanan besar.

Sehingga kini dia telah pun meraih 84 ‘caps’ antarabangsa, telah menjaringkan 36 gol buat Malaysia.

Di peringkat kelab, Hanis antara penyerang berbisa dalam saingan Liga Hoki Malaysia, pernah muncul sebagai penjaring terbanyak untuk tiga musim.

Dan musim 2022, Hanis merupakan penjaring kedua terbanyak selepas meledak 15 gol buat pasukan Negeri Sembilan.

Loading...
Terkini