comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: MHC puas hati dengan aksi Malaysian Tigers

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tetap berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan skuad kebangsaan di Piala Dunia 2023 meskipun gagal mencapai sasaran iaitu untuk mara ke suku akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan MHC, Datuk Najmi Razak berkata, pihaknya nyata berbangga dengan prestasi skuad negara yang mempamerkan aksi terpuji di kejohanan itu.

Malah katanya, skuad negara juga berjaya peningkatan pada aksi Piala Dunia terutamanya selepas tewas besar kepada Belanda pada aksi pertama.

“Benar, memang berpuas hati. Saya rasa bukan saya seorang sahaja, Datuk Presiden (Datuk Seri Subahan Kamal) juga sama.

“Malah saya tengok aksi itu (lawan Sepanyol) bersama YB Menteri Hannah Yeoh sampai ke habis di Dataran Merdeka. Kami berbangga dengan aksi yang ditampilkan skuad negara.

“Saya nampak peningkatan aksi mereka dari peringkat kumpulan sejak kalah perlawanan pertama (lawan Belanda), selepas itu mereka main dengan baik.

“Kita menang dua aksi dan layak ke peringkat crossover dan pemain bermain dengan bersungguh dan bermati-matian. Semangat kembali itu ada dalam semua perlawanan namun bila ke penalti shoot situasi 50-50 dan apa-apa boleh berlaku,” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini pada Ahad, Malaysia tidak bernasib baik apabila tewas 3-4 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas terikat 2-2 dengan Sepanyol pada aksi crossover di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India.

Kekalahan itu meranapkan impian skuad hoki negara untuk mara ke peringkat suku akhir sebagai lapan pasukan terbaik dunia pada edisi kali ini.

Dalam pada itu Najmi berkata, beliau berharap, pemain-pemain negara dapat melupakan kekecewaan tewas di pusingan crossover tempoh hari.

Sebaliknya pemain perlu bangkit semula dalam perlawanan penentuan tempat 9-16 yang dijadual berlangsung Khamis ini bagi meraih keputusan positif di Piala Dunia kali ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini