comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2022: Oman jadi mangsa kedua Speedy Tigers

FOTO: Malaysia Hockey Confederation

HANGZHOU: Pasukan hoki kebangsaan menepati ramalan apabila melakar kemenangan kedua dalam saingan lelaki kumpulan B dengan meratah Oman.

Muhammad Razie Abd Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti seawal minit (m) ketiga permainan di Padang Hoki Gongshu Canal Sports Park sebelum pemain pertahanan itu menyudahkan penalti sembilan minit berselang untuk menggandakan kelebihan.

Suku pertama berkesudahan 3-0 memihak skuad negara selepas giliran Mohamad Ashran Hamsani melakukan jaringan padang.

Tiga minit selepas suku kedua bermula, Shello Silverius juga melakukan penyudah sama sekaligus meletakkan pasukan selesa dihadapan 4-0.

Aksi terus menarik apabila Oman berjaya juga menembusi gawang dikawal Mohammad Hafizuddin Othman menerusi gol padang Fahad Al Lawati.

FOTO: Malaysia Hockey Confederation

Namun dalam tempoh singkat Faizal Saari, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan gol kedua peribadi Ashran Hamsani masing-masing meledak m-26, m-29 dan m-30 menyaksikan Malaysia menutup separuh masa pertama 7-1.

Muhammad Najmi Farizal Jazlan menjadi pemain keenam Malaysia bergelar penjaring menerusi gerakan sudut penalti m-34 yang melebarkan kedudukan 8-1.

Oman terus longlai ditembusi tiga gol padang dalam tempoh empat minit membolehkan Ashran Hamsani melengkapkan hatrik m-35, ditambah Azrai Aizad m-36 dan Faizal m-39.

Kemenangan besar 11-1 itu memastikan barisan A. Arulselvaraj mendaki tangga teratas mengumpul enam mata dari dua perlawanan sementara menanti Korea Selatan beraksi di perlawanan kedua malam ini.

“Satu lagi kemenangan besar 11-1 bertemu Oman dan saya berpuas hati dari segi jaringan yang dihasilkan. Kami menjaringkan gol menerusi gol padang, pukulan sudut penalti dan penalti stroke di mana ianya satu jaringan yang lengkap.

Apa yang mungkin perlu kami perbaiki adalah sudut teknikal terutamanya pada suku keempat. Kami akan berehat satu hari esok sebelum turun bertemu Indonesia dan sudah tentu masa rehat akan digunakan dengan sebaiknya sebelum turun aksi ketiga,” kata Arulselvaraj menjelang perlawanan seterusnya menentang Indonesia petang esok.

Loading...
Terkini