comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI PIALA DUNIA 2023 – Afrika Selatan ratah Malaysia, ‘The Speedy Tigers’ terlepas sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik.

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

ROURKELA: Harapan skuad hoki kebangsaan untuk menamatkan kempen Piala Dunia dalam kelompok 10 pasukan terbaik musnah selepas dibelasah Afrika Selatan 3-6 pada perlawanan klasifikasi 9/16 di Stadium Hoki Birsa Munda di Rourkela.

Segalanya bagai serba tidak menjadi selepas ‘The Speedy tigers’ ketinggalan 0-3 tamat 30 minit pertama dengan Afrika membuka jaringan seawal minit ke 9 menerusi gol padang Bradley Sherwood.

Bersambung suku kedua, Afrika terus menggandakan kedudukan, kali ini gol dihasilkan menerusi jaringan sudut penalti Guy Morgan pada minit ke 17.

Dan Nqobile Ntuli menutup aksi separuh masa dengan kedudukan 3-0 memihak Afrika selepas dia menjaringkan gol padang pada minit ke 26.

Lima minit selepas suku ketiga bersambung, Malaysia bangkit dengan jaringan sudut penalti Muhd Razie Rahim.

Bagaimanapun, Afrika pantas membalas dengan mencetak dua gol berturut-turut menerusi jaringan padang Keenan Horne dan pukulan penalti Mustaphaa Cassiem masing-masing pada minit ke 43 dan 44.

Razie sempat menambah gol kedua peribadi di penghujung suku ketiga, kali ini menerusi pukulan penalti untuk kedudukan semasa 2-5.

Suku keempat, Afrika terus berpesta apabila Sherwood berjaya menjaringkan gol kedua peribadi untuk kedudukan 6-2.

Namun kembali dibalas Firhan Ashaari menerusi gol padang untuk melengkapkan perlawanan dengan Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 3-6.

“Saya dan semua pun terlalu amat kecewa disebabkan kita kehilangan, saya tidak tahu, tumpuan, fokus atau hilang kemahuan di awal separuh masa, kita kalah perlawanan ini di separuh masa pertama, kita cuba bangkit pada suku ketiga dan suku keempat, tetapi sebab kita kena bergerak ke hadapan, itu membuka ruang di bahagian belakang bila lawan melakukan serangan balas, saya rasa, Afrika layak memenangi perlawanan ini, mereka bermain lebih bijak daripada kita, kemahuan mereka lebih tinggi, itu tidak dapat dinafikan.

“Pujian harus diberikan kepada pelari pertama pukulan sudut penalti, pasukan Afrika Selatan memperoleh banyak pukulan sudut penalti, cuma satu peluang mereka berjaya melakukan jaringan, selebihnya pelari pertama kita dan juga penjaga gol berjaya menyekat percubaan lawan, itu antara perkara positif yang kita dapat.

“Daripada jaringan kita, kita berjaya menjaringkan satu gol padang, satu gol penalti dan satu gol sudut penalti, kita mempunyai dua pukulan sudut penalti, langsung tidak mencukupi, daripada dua, kita menjaringkan satu, perlawnan macam ini kita perlukan lebih banyak pukulan sudut penalti, kita pun kurang memasuki kawasan ‘D’ mereka terutamanya pada dua suku awal, kira kurang pergerakan, kesilapan banyak berdasarkan emosi pemain, kemahuan pada suku ketiga dan keempat itu ada tetapi belum tetapi emosi mereka terlalu tinggi, mereka tidak dapat mengawal emosi mereka dan juga kepercayaan mereka.

“Perlawanan seterusnya kita akan menunggu perlawanan klasifikasi 13/16 antara Jepun dan India, walau macam mana pun, kita perlu keluar melupakan perlawanan ini, emosi ini, dan kita kena menang perlawanan seterusnya,” kata Arul Selvaraj selepas perlawanan.

Kekalahan yang dialami bermakna Malaysia terlepas peluang untuk menamatkan kempen dalam kelompok 10 pasukan terbaik.

Sebaliknya kini, ‘The Speedy Tigers’ akan turun beraksi dalam penentuan klasifikasi 13/16 sama ada menentang Jepun atau India pada 28 Januari nanti.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia adalah pada kempen 1975 menerusi penamat tempat keempat, sementara dua penampilan terakhir pada 2014 dan 2018 menyaksikan ‘The Speedy Tigers’ sekadar menamatkkan kempen di kedudukan ke 12 dan ke 15.

Loading...
Terkini