comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA SULTAN AZLAN SHAH: Keputusan seri cukup untuk bawa Malaysia ke pentas akhir

FOTO: NSTP

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

IPOH: Skuad hoki kebangsaan hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir kumpulan hari ini untuk mengesahkan tiket ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun, lawan sukar menanti dengan Jepun turut memiliki peluang sama untuk ke penentuan kejuaraan, bezanya adalah skuad kendalian Katsuya Takase perlu menang ke atas skuad ‘The Speedy Tigers’.

Namun, dengan rekod baik Malaysia pada dua perlawanan terakhir bagai memberi petanda positif, skuad kendalian jurulatih Arul Selvaraj mampu tepati ramalan mara ke perlawanan akhir.

“Diharap kemenangan kedua akan memberi inspirasi kepada pemain untuk menewaskan Jepun esok. Walaupun kami mempunyai rekod yang baik menentang Jepun, pemain kami mesti kekal fokus dan menyudahkan tugas mereka,” katanya.

Malaysia memulakan kempen hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi 2022 dengan langkah kiri apabila dikejutkan dengan kekalahan 0-3 kepada Korea Selatan.

Kemudiannya, skuad negara diikat Pakistan dengan keputusan seri 1-1.

Perlawanan ketiga menentang Afrika Selatan bagaimanapun terpaksa ditunda selepas 14 minit gara-gara hujan lebat yang melanda dengan sambungan perlawanan ditetapkan pada hari Ahad.

Dengan Malaysia perlu menang baki tiga perlawanan terakhir untuk menghidupkan peluang ke pentas final, segalanya mula memberikan sinar apabila skuad negara gah mengatasi Mesir dengan kemenangan 4-1.

Meneruskan perlawanan menentang Afrika Selatan sehari berselang, kebangkitan disajikan Malaysia, membenam lawan dengan kemenangan besar 7-2, turut menyaksikan Muhd Razie Rahim melakar hattrik, paling utama, kembali menghidupkan peluang Malaysia untuk ke perlawanan akhir.

Dengan Malaysia menduduki tangga kedua menerusi kelebihan jaringan berbanding Jepun, jumlah 7 mata yang dimiliki kedua-dua pasukan bermakna skuad negara hanya memerlukan keputusan seri untuk bertemu Korea yang hampir pasti bergelar juara kumpulan.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan 31 Mei lalu di Kejohanan Piala Asia menyaksikan Malaysia mengatasi Jepun dengan kemenangan 5-0.

Pertemuan Malaysia – Jepun dijadualkan berlangsung jam 8 malam nanti bertempat di Stadium Hoki Azlan Shah di Ipoh.

Loading...
Terkini