comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Razie ledak hatrik, The Speedy Tigers hampiri pentas final

Muhammad Razie Abdul Rahim muncul pemain paling senior mewakili skuad hoki kebangsaan pada kempen Piala Sultan Azlan Shah 2022. FOTO: IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA

Oleh Fariz Zolkarnain

IPOH: Skuad hoki kebangsaan berjaya meneruskan rentak kemenangan pada kempen Piala Sultan Azlan Shah 2022 apabila membelasah Afrika Selatan 7-2 dalam aksi tertunda di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia yang berkelebihan dari segi jumlah jaringan, naik ke tangga kedua sekalipun berkongsi tujuh mata dengan Jepun sekaligus menghampiri pentas final bagi edisi ke-29.

The Speedy Tigers menyambung baki suku pertama dengan garang sekalipun ketinggalan 0-1 hasil jaringan Cameron Yves Le Forestier, Jumaat lalu.

Memasuki suku kedua, anak buah Arul Selvaraj mempamer aksi berkelas dunia apabila menjaringkan empat gol pantas.

Bermula dengan jaringan penyamaan pukulan sudut penalti dan penalti stroke, Muhammad Razie Abdul Rahim minit ke-18 dan 20, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal kemudiannya menjadikan kedudukan 4-1 menerusi gol padang, minit ke-23 dan 24.

Bagaimanapun masuk suku ketiga, perlawanan sekali lagi terpaksa ditunda lebih sejam gara-gara hujan lebat.

Sebaik bersambung, Afrika Selatan berjaya menjaringkan gol kedua melalui pukulan sudut penalti Connor Beauchamp minit ke-35 namun penyerang kebangsaan, Shello Silverius kembali menceriakan penyokong tempatan selepas mudah menolak masuk gol kelima Malaysia, empat minit berselang.

Minit ke-43, Malaysia tambah selesa apabila Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol keenam sebelum Muhammad Razie melengkapkan hatriknya juga menerusi pukulan sudut penalti minit ke-51 untuk gol ketujuh Malaysia.

Tiada lagi gol menyusul, skuad hoki kebangsaan memerlukan sekurangnya-kurangnya keputusan seri menentang Jepun, esok untuk mara ke pentas final yang dijadual berlangsung Selasa ini.

Loading...
Terkini