comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Sepanyol menang nasib, impian Speedy Tigers musnah

FOTO: Facebook Hockey India

BHUBANESWAR: Pasukan hoki negara hampir-hampir melakar sejarah besar di kempen Piala Dunia 2023 sewaktu pertarungan play-off menentang Sepanyol.

Malaysia diambang kemaraan ke suku akhir selepas dua kali memimpin perlawanan di Bhubaneswar itu sebelum impian tersebut dimusnahkan semasa penentuan shoot out.

Faizal Saari memberikan harapan dengan jaringan pembukaan permainan dari gerakan padang minit ke-35.

FOTO: Facebook Hockey India

Namun Sepanyol membalas dua gol pantas dalam suku sama menerusi pukulan penalti Marc Miralles minit ke-41 disusuli penyudah padang Xavier Gispert seminit kemudian.

Faizal menyudahkan gerakan serupa selepas itu namun jaringan tersebut tidak dikira selepas rujukan video oleh pengadil.

Perjuangan kem negara yang terus bersemarak membolehkan Shello Silverius tampil menyelamatkan barisan Arul Selvaraj daripada kekalahan dengan gol padang 11 minit sebelum aksi tamat.

FOTO: Facebook Hockey India

Keputusan 2-2 itu membawa kepada shoot out untuk pencarian pemenang di Stadium Kalinga.

Speedy Tigers sekali lagi di hadapan menerusi Muhammad Firhan Asharidan Faizal Saari yang menyempurnakan tugasan awal dibantu kehebatan penjaga gol Mohd Hafizuddin Othman menyelamatkan percubaan Alvaro Iglesias.

Ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil kemudian gagal menyudahkan tugasan ketiga begitu juga Shello di giliran kelima.

Malaysia dan Sepanyol yang terikat tiga sama sekali lagi mengharungi detik getir sudden-death.

Miralles meletakkan wakil Eropah itu dihadapan 4-3 namun Firhan pula tidak mampu menewaskan penjaga gol Mario Garin kali kedua sekaligus merelakan lawan melangkah ke peringkat lapan terbaik.

Loading...
Terkini