comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Skuad wanita remaja ke Jepun buru tiket ke Piala Dunia Remaja 

Foto – Malaysian Hockey Confederation / Facebook

KUALA LUMPUR: Giliran pasukan wanita remaja pula membawa cabaran negara di Piala Asia 2023 yang dijadual di Kakamigahara awal bulan depan.

Skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu akan berentap dengan sembilan lagi pencabar untuk mencabar kejuaraan dan lebih penting lagi tiga slot ke Piala Dunia Remaja di Chile yang ditawarkan.

Seramai 20 pemain dijadual terbang ke Jepun pada Isnin (29 Mei) menyaksikan enam daripadanya merupakan pemain yang telah mempunyai pengalaman bersama barisan senior kebangsaan.

Lima daripada enam pemain tersebut juga berada di dalam skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2023 Kemboja.

 

“Pemilihan pemain bagi pasukan ini telah bermula sejak awal tahun 2022 dengan tahap kecergasan pemain, keserasian antara satu sama lain dan mempunyai mentaliti untuk menang antara kriteria pemilihan pemain bagi menggalas cabaran negara,” kata Lailin.

Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan A bersama India, Korea, Taiwan serta Uzbekistan sementara Kumpulan B menampilkan Jepun, China, Hong Kong China, Indonesia dan Kazakhstan.

“Kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan cuba mengutip mata pada pertemuan dengan Taiwan serta Uzbekistan selain pertemuan dengan Korea akan menjadi penentuan untuk kami mencapai sasaran layak ke separuh akhir sebelum cuba untuk muncul selaku tiga pasukan terbaik kejohanan dan seterusnya layak ke Piala Dunia Remaja 2023, Chile,” tambahnya lagi.

Dua pasukan, Taiwan dan India turut dianggap pencabar utama berdasarkan kekuatan yang dimiliki.

Malaysia membuka tirai kempen menentang Taiwan pada 2 Jun, disusuli berdepan India tiga hari berikutnya, Uzbekistan sehari selepas itu dan yang terakhir ialah Korea Selatan 8 Jun.

Loading...
Terkini