comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI SOJC: Malaysia Tumbang Lagi

Pemain Malaysia, Muhammad Hazreeq Alief dicabar pemain Afrika Selatan, Senzwesihle Ngubane pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Skuad remaja negara tewas buat kali ketiga berturut-turut, kali ini kepada Afrika Selatan 1-3 pada Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun (B21) Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Muhammad Amin Rahim kekal di tangga tercorot liga sepusingan manakala Afrika Selatan selaku pendatang baharu kejohanan meraih kemenangan kedua.

Pada aksi suku pertama jelas seimbang apabila kedua-dua pasukan mengatur serangan dengan skuad remaja terlepas peluang menjaringkan gol pada minit kesembilan selepas pukulan kilas Danish Aiman Khairil Anuar dihalang penjaga gol, Reece Govender.

Serangan bertali arus skuad kendalian Guy Elliot membuahkan hasil pada minit ke-23 apabila Calvin Davis menyempurnakan pukulan sudut penalti yang mudah menewaskan penjaga gol, Rafaizul Saini.

Namun skuad remaja negara bangkit menyamakan jaringan selang seminit kemudian selepas Amirul Haniff Mamat mencipta gol menerusi pukulan sudut penalti tepat di sebelah kanan gol menewaskan Govender.

Di minit akhir suku kedua babak pertama, anak didik Muhammad Amin sepatutnya mendahului Afrika Selatan selepas meraih pukulan sudut penalti tetapi deretan tiga pukulan sudut itu gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Memasuki suku ketiga babak kedua, anak didik Elliot bijak menghukum kealpaan benteng skuad remaja negara memberi ruang buat Afrika Selatan menambah jaringan pada minit ke-35 selepas bola tolakan Ryan Mann menyaksikan Marvin Simons menampan bola menewaskan Rafaizul.

Kerapuhan benteng skuad negara terserlah lagi apabila Afrika Selatan menjaringkan gol pada minit ke-53 menerusi gol padang yang dihasilkan Cameron le Forestier untuk meletak pasukan itu selesa mendahului 3-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Australia kekal mengungguli tangga teratas liga sepusingan selepas mengumpul sembilan mata apabila tidak berdepan masalah menjinakkan juara bertahan, Britain 3-1 pada perlawanan yang ditangguhkan selama 30 minit akibat hujan lebat.

Australia yang dibimbing Jay Stacy membuka tirai jaringan menerusi gol padang oleh Cooper Burns seawal minit kedua tetapi Britain bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ellis Robson pada minit ke-18 menerusi gol padang.

Bagaimanapun, Australia dihadiahkan penalti pada minit ke-27 dan Joshua Brooks tidak mensia-siakan peluang terbaik untuk mencipta gol disusuli gol kemenangan skuad Kookaburras pada minit ke-48 menerusi gol padang Liam Hart.

Naib juara, India kembali menemui rentak kemenangan selepas menewaskan Jepun 5-1 untuk berada di tangga kedua dalam usaha mengulangi pencapaian pada edisi kesembilan selepas layak ke final. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini