comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Speedy Tigers benam Jepun, mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara

FOTO: FIH / World Sports – Speedy Tigers meraikan jaringan semasa menewaskan Jepun 5-1 di perlawanan terakhir kumpulan B di  North-West University Stadium, Potchefstroom.

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

POTCHEFSTROOM: Malaysia mengakhiri peringkat kumpulan Piala Negara-Negara FIH di Afrika Selatan dengan menduduki tangga kedua selepas mengumpul 6 mata sekaligus meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Skuad bimbingan Arul Selvaraj itu merakam kemenangan kedua selepas membenam Jepun 5-1 dalam aksi terakhir kumpulan B untuk bergelar naib juara.

Dalam perlawanan yang diadakan di North-West University itu, Muhammad Najib Abu Hassan muncul penjaring pertama seawal minit kedua permainan dari gerakan padang.

Kelebihan tersebut hanya bertahan selama tiga minit selepas Kosei Kawabe menyamakan keadaan juga dari gerakan sama.

Malaysia kembali mendahului pada suku kedua hasil pukulan sudut penalti Muhammad Aminuddin Mohd Zain minit ke-23.

Keinginan Speedy Tigers untuk merakam kemenangan kedua diserlahkan dengan tiga gol yang dihasilkan dalam tempoh enam minit di suku ketiga.

Bermula gol padang Faizal Saari minit ke-34, Najib kemudian menyumbat gol peribadi kedua melebarkan kedudukan 4-1 dari gerakan padang pada minit ke-39.

Perjuangan Jepun terus terpadam selepas dibolosi gol kelima dari jaringan padang Mohamad Ashran Hamsani.

Keputusan itu membawa Malaysia ke perlawanan separuh akhir pada hari Sabtu menanti juara kumpulan A sama ada tuan rumah Afrika Selatan ataupun Ireland.

Loading...
Terkini