comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Trio Korea Selatan perkuat THT

Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang bakal beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bulan depan. FOTO: Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun serta dua rakan senegaranya, Choi Hoil serta Yoo Seung Ho sah menjadi keluarga baharu Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam mengharungi kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Selain itu, skuad THT turut menyambar jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho yang akan dibantu jurulatih tempatan, Mohd Harfizi Baharom yang juga bertindak selaku jurulatih penjaga gol.

Manakala bekas pemain berpengalaman THT dan kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah dan bekas pemain Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Rahmah Othman masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong jurulatih.

Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, THT juga ‘merantai’ kapten skuad kebangsaan Piala Dunia 2023, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan tiga lagi pemain skuad Speedy Tigers iaitu Shello Silverius, Faizal Saari dan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman.

Katanya, bekas kapten kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Nabil Fiqri Mohd Noor, Ismail Abu, Fitri Saari dan penyerang muda berbakat negara, Mohamad Akhimullah Anuar Essok turut berada dalam senarai pemain skuad THT musim ini.

“Selain itu kelibat ramai pemain muda juga antara aset berharga buat pasukan untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala Liga selain Piala TNB yang terlepas musim lalu,” kata Mohd Fikri ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain THT dan TLHT hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan sebanyak RM2.5 juta kepada persatuan hoki bagi pembangunan sukan hoki negeri termasuk pasukan THT dan TLHT.

“Musim lalu kita menyalurkan sumbangan sebanyak RM2 juta, tapi pada musim ini kita menambah sumbangan sebanyak RM500,000 lagi sempena penubuhan Akademi Hoki Terengganu (AHT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT),” katanya.

Aksi MHL pada musim ini bakal membuka tirainya pada 9 Februari ini dengan aksi Piala Sumbangsih antara THT menentang TNB. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini