comscore
Tumpuan :
Sukan

Homebois kecundang, terlepas peluang bertemu SRG di separuh akhir

FOTO: Esports World Cup

RIYADH: Harapan untuk menyaksikan dua wakil negara berentap sesama sendiri di peringkat separuh akhir Piala Pertengahan Musim MLBB, MSC 2024 tidak kesampaian.

Selepas kejayaan Selangor Red Giants (SRG) menempah tiket separuh akhir, misi satu lagi pasukan negara, Homebois untuk mara ke peringkat sama tidak menjadi kenyataan.

Menentang wakil Singapura, NIP Flash, Homebois terpaksa akur, tewas dengan keputusan 2-3 dalam perlawanan yang menggunakan format ‘best of five’ itu.

Sengit pada permulaan perlawanan pertama, aksi tangkas Nazhan Mohd Nor atau ‘Chibi’ yang menggunakan hero Hayabusa jelas mula memberikan kelebihan kepada Homebois.

FOTO: Esports World Cup

14 ‘kills’ dirakam ‘jungler’ pasukan Homebois itu, menyaksikan perlawanan ditutup selepas bermain selama 15 minit.

‘Game’ kedua, penggunaan hero ‘Martis’ oleh Jankurt Russel Matira atau ‘KurtTzy’ kembali menyaksikan kebangkitan pasukan Flash.

14 minit tempoh yang diambil Flash untuk kembali mengikat kedudukan 1-1 selepas mencatat keputusan 16-4 dari segi jumlah ‘kills’.

Aksi cukup sengit berlangsung pada perlawanan ketiga dengan ‘jungler’ kedua-dua pasukan bermain dengan cukup baik.

Namun, kehadiran ‘mid laner’, Julian Ardiansyah atau ‘Udil’ berjaya memberikan kelebihan kepada Homebois dengan hero ‘Xavier’ sebelum menutup aksi dalam tempoh 24 minit, meletakkan pasukannya mendahului 2-1.

‘Game’ keempat, KurtTzy yang kembali menggunakan hero Martis jelas terus sukar digugat apabila dia membantu Flash menyamakan kedudukan 2-2, sekaligus mengheret permainan ke aksi penentuan.

Kali ini, persaingan kedua-dua pasukan berlangsung dengan sengit, saling berbalas ‘kills’ sebelum kemenangan akhirnya memihak pasukan Flash.

Sekaligus mengecewakan Homebois yang terpaksa akur dengan kekalahan 2-3, sementara Flash mara ke peringkat separuh akhir dengan SRG menanti sebagai lawan.

“Kita oranag ambil pengajaran daripada perlawanan ini, mungkin kami akan lebih lebih meningkatkan prestasi dari segi disiplin, mekanik dan membuat keputusan, mungkin disebabkan itu kami kalah perlawanan terakhir.

“Sebenarnya kalau tengok perlawanan tadi, ‘Jawhead’ tu kuat saja, cuma kami kurang berdisiplin, sasaran dan disiplin dalam permainan, kalau kami main dengan lebih kemas dan sabar, mungkin kami boleh kuasai perlawanan itu.

“Untuk SRG, buat betul-betul, dan selamat berjaya, semoga Malaysia masuk ke final, sebab korang satu-satunya wakil Malaysia, nak harapkan kami, kami dah kalah, kami nak minta maaf, saya wakil kepada semua pasukan Homebois, kami nak minta maaf sebab mengecewakan semua, walaupun kami tak dapatkan dua slot semi final untuk Malaysia, saya yakin SRG akan buat yang lebih baik dari kami,” kata Nazhan menerusi temuramah atas talian.

Perlawanan peringkat separuh akhir SRG menentang NIP Flash dijadualkan berlangsung Sabtu nanti.

FOTO: Esports World Cup

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini