comscore
Tumpuan :
Sukan

Hon Jian – Nazri buru kejuaraan kedua di India

Choong Hon Jian – Muhammad Haikal Nazri akan menentang beregu Taiwan Lin Bing Wei -Su Ching Heng, pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Guwahati di Assam, India esok.- Foto: BAM/ Facebook

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian – Muhammad Haikal Nazri  menghampiri kejuaraan kali kedua berturut-turut   India apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton  Masters Guwahati di Assam.

Pada perlawanan separuh akhir petang tadi, Hon Jian – Muhammad Haikal  mengalahkan satu lagi pasangan negara Boon Xin Yuan-Goh V Shem.

Mereka diberi tentangan hebat sebelum menang   21-18,  21-17 dalam masa 35 minit.

Minggu lalu, Hon Jian dan Muhammad Haikal yang berada di ranking ke-93 dunia menjuarai Kejohanan Syed Modi di Lucknow, India,  mengejutkan beregu ke-16 dunia dari Jepun,  Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-18, 21-16.

Pada perlawanan akhir esok, Hon Jian – Muhammad Haikal akan menentang pasangan Taiwan, Lin Bing Wei -Su Ching Heng yang menewaskan gandingan tuan rumah, Hariharan Amsakarunan -Ruban Kumar Rethinasabapathi 21-10, 21-19.

Bagaimanapun hasrat untuk menyaksikan pertemuan sesama sendiri perseorangan lelaki negara pada aksi final esok tidak kesampaian.

Cheam June Wei  tewas kepada pemain Indonesia, Yohanes Saut Marcellyno  10-21, 19-21  dalam tempoh 38 minit.

Manakala Justin Hoh menarik diri ketika menentang lawan juga dari Indonesia,  Alvi Wijaya Chairullah pada kedudukan 2-11 di set kedua akibat kecederaan selepas  Hoh  kalah set pertama 12-21.

Turut tersingkir beregu campuran, Hon Jian yang bergandingan bersama Go Pei Kee tumpas kepada pilihan ke-6 dari Denmark, Mads Vestergaard – Christine Busch dalam permainan  tiga set, 16-21, 21-12, 7-21.

Loading...
Terkini