
KUALA LUMPUR: Impian jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang melangkah ke perlumbaan akhir acara keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland tidak kesampaian awal pagi tadi.
Kemaraan pelumba berusia 35 tahun itu tersekat apabila dia menamatkan perlumbaan saringan pertama separuh akhir di tangga keempat, menurut laman sesawang rasmi kejohanan www.uci.org.
Artikel berkaitan: Azizulhasni sahkan tempat untuk acara keirin
Hanya tiga pelumba terpantas setiap saringan mara ke final.
Azizulhasni, juara keirin dunia pada tahun 2017 di Hong Kong, akhirnya menduduki ranking kesembilan dalam acara kegemarannya itu.
Perlumbaan keirin itu dimenangi pelumba Colombia, Kevin Quintero Chavarro, tempat kedua Matthew Richardson dari Australia manakala pelumba Jepun, Shinji Nakano di tangga ketiga.
Terdahulu, Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman, mara ke separuh akhir selepas menempatkan diri selaku empat pelumba terpantas pada suku akhir. – BERNAMA